JAINJ diminta tarik balik keputusan tunda majlis akad nikah – AWAN Johor

JAINJ diminta tarik balik keputusan tunda majlis akad nikah – AWAN Johor

Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Negeri Johor menyeru Jabatan Agama Islam negeri Johor (JAINJ) membatalkan keputusan menunda majlis akad nikah sebelum ini ekoran pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketuanya, Nor Hayati Bachok berkata, JAINJ perlu mengeluarkan garis panduan dan tatacara khas yang perlu dipatuhi pasangan dan keluarga masing-masing.

“Saya mengharapkan Exco Agama negeri Johor mengambil maklum permasalahan ini agar perkara berbangkit ini dapat diselesaikan dengan segera.

“Soal penjarakan sosial yang disarankan oleh kerajaan perlu dipatuhi namun JAINJ harus mengeluarkan kaedah bagi memudahkan urusan ini berlangsung tidaklah tertangguh seperti hari ini.

“Kita tidak mahu perkara seperti penzinaan, maksiat dan sebagainya berlaku justeru memudahkan cara pasangan tersebut bernikah adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memikirkan bersama,” jelasnya.

Adun Maharani berkata demikian ketika mengulas gesaan orang ramai di laman rasmi Facebook JAINJ agar keputusan menunda majlis akad nikah ditarik balik.

Seramai 800 pasangan yang sudah berdaftar dengan JAINJ dan sepatutnya bernikah sejak 21 Mac hingga 28 April lalu terpaksa menunda penikahan ekoran PKP.

Menerusi pekeliling pengurusan nikah, cerai dan rujuk sepanjang PKP, JAINJ menangguhkan semua majlis akad nikah sepanjang tempoh itu atau mengikut tempoh PKP berakhir.

Mengulas lanjut, Nor Hayati berkata, ramai pasangan berharap agar JAINJ segera menyelesaikan isu pernikahan tersebut.

Katanya, negeri-negeri lain telah membenarkan penikahan tersebut dapat dijalankan mengikut prosuder operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sehubungan itu, Johor, ujarnya, boleh mencontohi langkah progresif dari negeri-negeri lain untuk mempermudahkan proses pernikahan.

“Sebelum ini Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah menjalankan proses pernikahan secara atas talian dan kaedah ini juga boleh diikuti oleh Johor.

“Negeri-negeri lain seperti Selangor, Perak dan Negeri Sembilan pun telah membolehkan pasangan yang ingin berkahwin melangsungkan proses akad nikah mengikut SOP seperti had orang di dalam satu kawasan seperti pejabat kadi, had jarak dan sebagainya.

“Saya menyarankan agar kerajaan negeri Johor serta Exco agamanya memikirkan untuk memberikan kelonggaran dalam proses nikah di negeri ini,” tambahnya lagi.

Berita penuh :https://malaysiadateline.com/awan-johor-seru-jainj-keluar-sop-benarkan-kembali-majlis-akad-nikah/

COMMENTS