‘Jaga bahasa, jangan tabur fitnah’ Usahawan tegur Fida Ibrahim

Oleh DAHLIA MARZUKI

Kes saman fitnah usahawan Datuk Haris Embong terhadap pelakon Rafidah Ibrahim atau Fida, yang bermula pada tahun 2021, akan segera berakhir.

Menurut Haris, 47, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijangka akan mengumumkan keputusan kes tersebut dalam masa terdekat, mungkin minggu depan.

Sebelum keputusan diumumkan, Haris sempat mengingatkan Fida agar menjaga bahasa yang digunakan dan tidak menyebarkan fitnah kepada orang lain.

Perniagaan Haris terjejas akibat dakwaan fitnah oleh Fida pada tahun 2021.

“Kita hanya perlu tunggu keputusan akhir di mahkamah yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

'Jaga bahasa, jangan tabur fitnah' Usahawan tegur Fida Ibrahim

“Pesanan saya kepada Rafidah adalah agar bersikap jujur. Jangan buat cerita yang tidak benar kerana ia melibatkan maruah,” katanya menurut laporan mStar.

Haris mendakwa imejnya sebagai usahawan telah terjejas akibat fitnah tersebut, dan syarikatnya juga mengalami kerugian.

“Imej saya sebagai usahawan telah terjejas kerana fitnah yang dilemparkan, dan syarikat kami mengalami kerugian dari segi hasil jualan serta reputasi,” ujarnya.

Haris juga berkata bahawa apabila isu tersebut mula menjadi tular, dia telah menghubungi Fida untuk menyelesaikan masalah secara baik, tetapi gagal.

Oleh itu, usahawan dan pemilik Arisprop Holdings Sdn Bhd itu mengambil keputusan untuk menuntut keadilan di mahkamah.

“Selepas saya berhentikan dia (Rafidah), dia tidak puas hati dan membuat cerita bahawa syarikat tidak membayar gaji dan dia mengalami gangguan seksual.

“Pada mulanya dia tidak menyebut nama, tetapi apabila ramai yang bertanya, dia menyebut nama saya dan syarikat.

Keputusan kes saman fitnah Haris terhadap Fida akan diketahui tidak lama lagi.

“Saya telah cuba menghubunginya tetapi dia meminta berurusan melalui peguam. Jadi saya memutuskan untuk menyaman dia pada tahun 2021 kerana fitnah yang dilakukan,” jelasnya.

Untuk makluman, Fida pernah bekerja dengan Arisprop Holdings Sdn Bhd sebagai ketua pemasaran syarikat tersebut.

Bagaimanapun, aktres itu telah diberhentikan selepas berkhidmat selama tiga bulan mulai Jun 2021 kerana prestasi kerja yang dianggap kurang memuaskan.

BACA: “Ayah aku tukar pintu, dorang pun nak tukar, ayah pasang aircond, dorang pun pasang juga, satu hari jiran ceroboh rumah, nak spotcheck”