Isu NFCorp: Mahkamah persekutuan kekalkan kemenangan Rafizi Ramli

Isu NFCorp: Mahkamah persekutuan kekalkan kemenangan Rafizi Ramli

Isu NFCorp: Mahkamah persekutuan kekalkan kemenangan Rafizi Ramli. Mahkamah Persekutuan membatalkan rayuan National Feedlot Corporation (NFCorp) dan pengerusinya, Mohamad Salleh Ismail, terhadap penolakan saman fitnah mereka terhadap bekas ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berhubung dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan.

Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed berkata, Rafizi, yang juga naib presiden PKR, berjaya membangkitkan pembelaan komen berpatutan untuk mengalahkan saman itu.

“Beliau berhak untuk membuat kenyataan secara bebas dalam perkara berkait kepentingan awam,” kata Azahar, yang menyampaikan penghakiman sebulat suara hari ini.

Panel hakim yang bersidang turut dianggotai Zaleha Yusof dan Zabariah Mohd Yusof.

Azahar berkata, Rafizi juga menyatakan pendapat jujur tentang NFC dan Salleh berdasarkan dokumen bank yang tidak dipertikai.

“Juga tiada niat jahat di pihak responden (Rafizi) dan beliau berhak membuat komen berpatutan,” katanya selain menambah bahawa Rafizi tidak boleh dipertanggungjawabkan.

Rafizi, yang diwakili oleh Razlan Hadri Zulkifli dan Ranjit Singh, turut dianugerahkan kos RM70,000.

NFCorp dan Salleh diwakili peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Salleh memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi pada 2013, selepas beliau mendakwa Salleh dan NFCorp menggunakan pinjaman kerajaan RM71 juta sebagai cagaran untuk membeli hartanah di KL Eco City.

Pada 2016, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rafizi membayar ganti rugi RM150,000.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Rafizi dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi. Ia mengarahkan wang RM150,000 yang telah dibayar kepada Salleh dikembalikan dan menganugerahkan kos RM110,000 kepada Rafizi.

Azahar berkata hari ini, hakim Mahkamah Tinggi mendapati pinjaman yang diberikan oleh Public Bank itu telah ditarik balik pada masa Rafizi membuat kenyataan yang dipertikaikan.

Katanya, Mahkamah Tinggi membuat kesimpulan bahawa fakta yang disandarkan Rafizi adalah tidak tepat.

“Pada pandangan saya, Mahkamah Tinggi gagal melihat bahawa penarikan balik pinjaman mengesahkan bahawa pinjaman telah diberikan walaupun tiada simpanan yang kukuh di bank,” katanya.

Beliau berkata, kedudukan kewangan akan menjadi faktor penting bagi mana-mana pelanggan untuk mendapatkan pinjaman daripada bank.

“Oleh itu, seorang pembaca akan membuat kesimpulan bahawa deposit RM71.3 juta memainkan peranan dalam pinjaman awal daripada bank untuk membeli lapan unit hartanah,” katanya.

Azahar berkata, pada pandangannya, berdasarkan “fakta asas”, kenyataan Rafizi adalah pendapat dan kesimpulan.

Katanya, projek NFC itu telah dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara pada 2011 yang mengetengahkan kegagalan dan kelemahannya, memandangkan ia membabitkan dana awam.

“Ia menarik perhatian orang ramai atas dasar akauntabiliti, ketelusan dan tadbir urus yang baik bagi semua yang terlibat dalam menguruskan dana awam.”

Beliau juga berkata, ia mendapat liputan meluas media dan dibahaskan di Parlimen.

Katanya, dakwaan Rafizi bahawa dana awam disalah guna sebagai “leverage” untuk mendapatkan pinjaman juga akan menjadi pendapat yang jujur dan kesimpulan dibuat orang yang berfikiran wajar dalam keadaan itu.

“Responden tidak didorong oleh niat jahat untuk membuat kenyataan yang dipertikaikan kerana beliau percaya dakwaan itu benar dan (kenyataan) dibuat bagi menjalankan tugas awamnya.”

TONTON :

BACA:

Isham Jalil cabar MB Terengganu sumpah laknat tiada rancangan jatuhkan pemimpin Umno

Padah pukul perempuan, penyanyi terkenal ditahan polis

CATEGORIES