Isteri pemimpin Armada berdepan hukuman mati kerana edar ganja

Isteri pemimpin Armada berdepan hukuman mati kerana edar ganja

Isteri kepada seorang pemimpin sayap Pemuda PPBM berdepan hukuman mati setelah dia didakwa di Mahkamah Majistret atas dua tuduhan mengedar ganja di rumahnya bulan lalu.

Lyiana Roslee, 34, didakwa mengedar 1,580.4gm ganja dengan individu lain yang belum didakwa.

Dia juga didakwa mengedar 7,870ml cecair ganja dengan individu sama.

Jika sabit kesalahan, Lyiana boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara maksimum 30 tahun. Dia diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.

Dia dan individu sama juga menghadapi tuduhan ketiga, iaitu mengusahakan sembilan tanaman ganja. Sekiranya didapati bersalah, dia boleh dipenjara selama 30 tahun.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Duta Suria pada 7.30 malam 20 Jan lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syazwani Mohamad Sobry.

Majistret Farah Nasihah Annuar menetapkan kes itu disebut semula pada 16 Feb untuk membolehkan pendakwaan memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. – FMT