ISMA kecam lantikan Lian Ker, PAS terus menyepi

ISMA kecam lantikan Lian Ker, PAS terus menyepi

Pelantikan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker sebagai Timbalan Menteri Perpaduan didakwa akan merisaukan umat Islam ekoran tindakannya yang dikatakan lantang menentang hukum dan dasar berkaitan agama Persekutuan itu.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya menyifatkan Lian Ker adalah “frontliner” utama bagi MCA untuk menentang, mengkritik dan menghentam dasar-dasar perundangan Islam yang dibawa oleh Barisan Nasional di peringkat kerajaan pusat dan kerajaan Kelantan pimpinan PAS.

“Saya dan rakan-rakan NGO Islam yang berpenat lelah memperjuangkan agar agenda-agenda Islam didaulatkan selama ini sudah pasti berasa kesal dan hampa dengan keputusan kerajaan melantik orang ini menjadi Timbalan Menteri Perpaduan.

“Persoalan saya, tiada orang lain sangatkah untuk menjawat jawatan ini?

“Jika mahu sangat lantik orang bukan Islam sekalipun, pilihlah yang punya rekod bersih dan mencerminkan perpaduan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Aminuddin berkata, kegagalan kerajaan yang lalu untuk mencapai perpaduan negara seharusnya menjadi pengajaran kepada kerajaan baharu hari ini.

Katanya, ini disebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah melantik seorang menteri yang menentang Islam dan perkara sama boleh berlaku jika kerajaan baru ini mengulangi kesilapan sama.

Menurut Aminuddin lagi, langkah sumbang kerajaan kali ini membuktikan perkiraan politik diutamakan lebih dari perpaduan rakyat dan ini tidak seharusnya berlaku jika kerajaan benar-benar serius untuk mengangkat agenda perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Lantikan ini adalah satu penghinaan kepada perpaduan negara dan yang paling pasti akan merencatkan usaha-usaha untu mendaulatkan Islam di Malaysia ini,” ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan Tian Ker akan mengangkat sumpah sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara pada Selasa.

Perkara itu disahkan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman mengenai pelantikan itu pada Isnin manakala, Lian Ker akan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada Selasa.

Berita penuh :https://malaysiagazette.com/2020/05/04/lantik-lian-ker-satu-penghinaan-kepada-perpaduan-negara-isma/