Isi minyak kereta penuh tapi pelik meter tak naik? Rupanya ini yang rosak

Oleh AHMAD SULAIMAN

Anda perlu bertugas di luar kawasan, dan perkara pertama yang perlu dilakukan adalah mengisi minyak kereta

serta menambah nilai Touch ‘n Go dengan secukupnya supaya perjalanan ke destinasi lancar.

Kereta dipandu ke stesen minyak berdekatan. Setelah pembayaran dibuat, minyak mula diisi hingga penuh.

Anda masuk semula ke dalam kereta dan hidupkan enjin sambil mata memerhatikan takat meter tangki minyak yang naik sedikit demi sedikit.

Dari takat ‘E’, meter minyak terus naik sehingga berhenti di takat ‘F’.

Isi minyak kereta penuh tapi pelik meter tak naik? Rupanya ini yang rosak

Dengan hati yang lega melihat tangki minyak kembali penuh, anda meneruskan perjalanan. Tiba-tiba, takat meter tangki minyak merudum jatuh kembali ke paras ‘E’, seolah-olah ia tidak pernah naik langsung.

Panik, pelik, dan bermacam persoalan mula timbul. Baru sahaja mengisi minyak, tapi kenapa cepat habis? Adakah tangki minyak bocor? Apa yang sedang berlaku?

Bertenang. Sebenarnya, minyak yang anda isi tadi masih ada di dalam tangki minyak.

Sistem yang digunakan untuk membaca takat minyak dalam tangki kereta ini dipanggil tolok bahan api atau fuel gauge. Ia berfungsi dengan menggunakan kawalan magnetik atau termostatik, yang menyampaikan maklumat kepada pemandu menerusi takat di papan pemuka kenderaan.

Untuk penjelasan lebih lanjut mengenai situasi ini, berikut adalah penerangan ringkas daripada seorang mekanik di Altimat Auto Garage.

Menurut mekanik di sana, masalah ini berlaku apabila pelampung di dalam fuel gauge tangki minyak anda rosak. Akibatnya, pelampung tersebut tidak dapat menghantar isyarat yang tepat mengenai takat minyak ke meter di papan pemuka kereta.

“Jadi, kalau wiring atau sensor yang bermasalah, memang paras minyak akan terbaca tidak betul,” jelas mekanik tersebut.

Ini bermakna, minyak yang anda isi tadi sebenarnya masih ada di dalam tangki. Anda hanya perlu pergi ke bengkel kereta untuk membaiki fuel gauge yang rosak, dan takat meter tangki minyak kereta anda akan kembali seperti biasa.

BACA: Walaupun nyanyian undang kritikan netizen, Abby Abadi pertahan Fazura