Ireland berjaya kawal Covid-19 dalam tempoh sebulan, mengapa kita tidak?

Ireland berjaya kawal Covid-19 dalam tempoh sebulan, mengapa kita tidak?

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menjangkakan kedudukan Malaysia dalam senarai negara mencatatkan kes Covid-19 akan terus meningkat malah mungkin berada dalam 50 teratas.

Menurut ahli parlimen Iskandar Puteri itu, ketika ini Malaysia menghuni kedudukan di tangga ke-57 berdasarkan jumlah kes positif yang dicatatkan.

Kata Lim jika kes baru harian di negara ini terus mencatatkan angka lebih 3,000 kedudukan Malaysia bakal naik satu anak tangga menjadi 56.

“Jangkaan saya pada hari Ahad, bahawa jika kadar peningkatan harian terus meningkat, Malaysia bakal mencatatkan lebih daripada 200,000 kes menjelang penghujung Jan ini.

“Justeru jangkaan kita bakal berada dalam kalangan 50 negara teratas di dunia kelihatan seakan-akan bakal menjadi kenyataan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata penting untuk diberikan perhatian bahawa kini Malaysia mengatasi Ireland sedangkan hanya pada pertengahan Dis tahun lalu negara itu berdepan dengan ancaman wabak Covid-19 dengan serius.

Ireland juga kata Lim pernah mencatatkan kadar peningkatan harian tertinggi di dunia.

Pada 24 Dis lalu, kata Lim, Ireland mencatatkan peningkatan 918 kes, namun angka itu meningkat 32 kali ganda dan menjadi 8,277 kes sehari menjelang 8 Jan.

Bagaimanapun, menurutnya, Ireland melaksanakan sekatan pergerakan menyebabkan jumlah kes baru harian negara tersebut menurun kepada 928 kes sehingga semalam.

Justeru itu, Lim mempersoalkan jika Ireland berjaya mengawal penularan wabak Covid-19 dalam masa sebulan, mengapakah Malaysia gagal melakukan kekangan itu dalam tempoh empat bulan sejak gelombang ketiga wabak itu mula menular pada 20 Sept 2020.

“Pada masa ini, Malaysia adalah negara di tempat ke-25 dengan kadar peningkatan harian tertinggi kes Covid-19,” katanya.

Menurut Lim lagi walaupun Malaysia tidak berada dalam kelompok negara paling terkesan, kadar peningkatan kes di negara ini dilihat berada pada tahap kritikal dan perlu dikawal segera.

Justeru untuk jangka masa panjang, katanya, kerajaan perlu mempertimbang apakah yang akan berlaku kepada Malaysia di pentas antarabangsa dalam era pasca-Covid-19.

“Rakyat Malaysia perlu memberikan perhatian terhadap laporan Euler Hermes yang bertajuk “Dunia sedang bergerak ke Timur, dengan pantas”, yang mengatakan krisis akibat Covid-19 ini mungkin akan mempercepatkan pergerakan kuasa global ke Asia.

“Laporan tersebut merujuk kepada cabaran dalam menelurusi perubahan keseimbangan dalam ekonomi global, terutamanya dengan persaingan di antara AS dan China.

“Apa yang perlu disedari segera oleh pemimpin di Malaysia ialah peranan ekonomi Malaysia yang semakin mengecil dalam pentas antarabangsa pasca-Covid-19 ini yang semestinya tidak bertepatan dengan keutamaan keempat Muhyiddin iaitu untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya. – MK

COMMENTS