Dalam usaha memperkukuhkan ekonomi rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40),
Kerajaan melalui program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) telah memperkenalkan satu inovasi menarik iaitu Mesin Layan Diri IPR.
Namun, apa yang membuatkan inisiatif ini begitu istimewa?
Sebenarnya, ia lebih daripada sekadar sebuah mesin kerana ia adalah peluang untuk mereka yang memerlukan.
Teknologi telah menjadi tulang belakang banyak inisiatif bantuan sosial tetapi dengan mesin layan diri IPR, Kerajaan telah menggunakan teknologi ini ke tahap seterusnya.
Mesin ini berfungsi sebagai pusat pengedaran automatik untuk barangan keperluan asas seperti makanan, minuman dan produk harian dengan harga yang berpatutan.
Apa yang lebih menarik, vending machine ini tidak hanya berfungsi sebagai tempat membeli barang semata-mata. Ia juga mencipta peluang perniagaan bagi pengusaha kecil atau usahawan tempatan untuk meletakkan produk mereka di dalam mesin ini, sekali gus menjana pendapatan secara langsung.
Ini menunjukkan bagaimana Mesin Layan Diri IPR berfungsi dalam dua cara iaitu membantu masyarakat mendapatkan keperluan harian mereka dengan mudah, sambil membuka ruang kepada individu yang mahu memulakan perniagaan mereka sendiri.
Inisiatif ini memberikan golongan B40 mengakses peluang ekonomi dan memperbaiki taraf hidup mereka. Mesin ini memberi platform kepada peniaga kecil-kecilan untuk memasarkan produk tempatan mereka kepada komuniti setempat.
Daripada hanya bergantung pada kedai runcit, mereka kini mempunyai akses kepada pelanggan secara automatik, meningkatkan visibiliti produk dan potensi keuntungan mereka. Ini sekaligus mencipta ekosistem ekonomi mikro di sekitar kawasan mesin layan diri ini diletakkan.
Difahamkan, boleh dikatakan penerima-penerima inisiatif ini berjaya mengubah nasib mereka dan mendapat pendapatan lebih lumayan.
Menerusi laporan, Zainab Dali yang menjual dua menu iaitu nasi goreng dan spageti menerusi program inisiatif ini sejak tahun lalu berjaya menjana pendapatan antara RM5,000 hingga RM6,000 sebulan.
“Saya menanggung seorang kakak yang juga orang kurang upaya (OKU) dan anak buah, jadi saya perlu bekerja keras. Kita bukan orang senang.
“Alhamdulillah, bulan lalu saya dapat RM6,515 hasil jualan menerusi program IPR,” ujarnya.
Manakala Normaladiana Mohd Yazal yang menjual makanan ringan seperti sandwic, kek dan roti sosej berjaya meraih pendapatan sampingan antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan.
“Setiap hari saya tukar menu supaya pelanggan tak bosan. Sebagai OKU fizikal, keupayaan kaki dan tangan saya agak terbatas.
“Dalam keadaan begitu pun, saya boleh mendapat pendapatan harian antara RM70 hingga RM80. Bagi saya ini sudah baik kerana jualan saya adalah makanan ringan dan murah.
“Saya dapat pendapatan hasil usaha sendiri walaupun dalam keadaan banyak kekangan. Saya bersyukur IPR memberi peluang untuk saya berdikari,”ujarnya.
Mesin Layan Diri IPR adalah simbol bagaimana teknologi dan kebajikan boleh bersatu untuk membawa manfaat besar kepada masyarakat. Inisiatif ini bukan sahaja memberi bantuan secara automatik, tetapi juga membuka pintu kepada peluang ekonomi yang lebih luas untuk rakyat.
Dengan teknologi ini, golongan B40 bukan lagi dilihat sebagai penerima bantuan semata-mata tetapi juga sebagai pencipta nilai.
Mereka diberi peluang untuk terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan dan memperbaiki taraf hidup dengan cara yang lebih berkesan dan berkelanjutan.
Inisiatif mesin layan diri IPR benar-benar membuktikan bahawa teknologi boleh dimanfaatkan untuk kebajikan dan lebih daripada itu, ia menyediakan peluang untuk masa depan yang lebih cerah.
BACA: “Pelik ayah lama tak balik rumah, rupanya naluri mak dah lama , akhirnya terbukti yang ayah”