Inspektor polis kena hukum mati oleh mahkamah selepas bunuh pegawainya. Seorang bekas inspektor polis dihukum mati oleh mahkamah di sini, hari ini,
atas kesalahan terbabit pembunuhan terancang pengawal peribadinya, dalam kes yang mendapat perhatian meluas selama berbulan-bulan.
Ferdy Sambo yang juga bekas Ketua Hal Ehwal Dalaman Polis Indonesia, dijatuhi hukuman itu di hadapan panel tiga hakim selepas menjalani perbicaraan sejak Oktober tahun lalu.
Hakim Wahyu Iman Santoso ketika membacakan penghakiman itu berkata, Sambo terbukti bersalah melakukan jenayah terbabit dalam pembunuhan terancang.
Pendakwa raya telah memohon hukuman penjara seumur hidup ke atas Sambo.
Peguam Sambo, Arman Hanis, memberitahu pemberita bahawa pasukannya akan meneliti keputusan mahkamah itu, namun enggan memaklumkan sama ada bakal memfailkan rayuan.
Sebelum ini, polis dilaporkan berkata, mangsa dikenali sebagai Brigedier Nopryansyah Yosua Hutabarat, 27, maut dalam insiden tembakan dengan seorang pegawai di kediaman Sambo, di sini, tahun lalu.
Ketika perbicaraan, Sambo mendakwa pembunuhan itu tidak dirancang, dan ia didorong perasaan marah kerana percaya Hutabarat telah merogol isterinya.
Namun, panel hakim menolak dakwaan itu berikutan kekurangan bukti.
Sebelum ini, Sambo dinamakan sebagai suspek selepas Hutabarat ditemukan terbunuh di kediaman bekas inspektor jeneral polis dua bintang itu pada Julai tahun lalu.
Sambo didakwa mengarahkan seorang individu orang bawahan untuk menembak Hutabarat, sebelum dirinya turut menembak mangsa yang cedera.
Dia ditahan Ogos tahun lalu dan diberhentikan daripada pasukan pada September, disusuli perbicaraan selama berbulan-bulan yang akhir membawa kepada keputusan mahkamah, hari ini.
Sambo mempunyai tempoh satu minggu untuk membuat rayuan terhadap keputusan itu.
Ibu Hutabarat turut berada di mahkamah sambil memegang gambar mangsa. Ketika mahkamah membacakan keputusan, orang awam yang hadir dilihat terkejut dipercayai kerana tidak menjangka hakim akan menjatuhkan hukuman maksimum.
Pada peringkat awal kes kematian Hutabarat terbongkar, laporan media memetik polis berkata, seorang anggota lain dalam pasukan keselamatan disyaki membunuh mangsa yang didakwa menyerang isteri Sambo secara seksual.
Bagaimanapun, Sambo dan isterinya diberkas beberapa minggu kemudian.
Polis dilaporkan mendakwa kamera litar tertutup (CCTV) tidak berfungsi ketika insiden pembunuhan Hutabarat berlaku. Namun, hakim berkata, rakaman CCTV itu dipadamkan oleh seorang individu orang bawahan Sambo.
Aktivis percaya, peranan Sambo sebagai penguat kuasa undang-undang sebelum ini, berkemungkinan mendorong mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum terhadapnya. Dia dilihat sebagai telah mencemarkan reputasi penguat kuasa undang-undang dan kerajaan susulan kes itu.
BACA: