Ini teknik halus marah isteri tanpa disedari dirinya sedang dimarahi

Oleh CHE HUSNA KAMARUZZAMAN

Sebut sahaja mengenai alam perkahwinan, pasti ada pasang surutnya.

Antara masalah yang sering timbul antara suami isteri kini adalah isu komunikasi dan mengawal kemarahan.

Lebih-lebih lagi menjelang bulan Ramadhan yang mulia ini,

ikuti perkongsian daripada saudara Akhtar Syamir mengenai pengalamannya bersama isterinya sepanjang perkahwinan mereka.

Memarahi Isteri Tanpa Memarahi

Ini teknik halus marah isteri tanpa disedari dirinya sedang dimarahi

Semalam, saya benar-benar marah dengan isteri saya. Dia telah melakukan satu kesalahan yang agak membahayakan.

Tidak perlulah saya nyatakan apa kesalahannya kerana itu bukan fokus utama di sini.

Saya adalah jenis orang yang boleh marah kepada sesuatu bukan disebabkan oleh apa yang telah berlaku, tetapi lebih kepada kemarahan kerana ia seharusnya boleh dielakkan.

Saya mengenali isteri saya. Apabila dia melakukan kesilapan, dia akan merasa takut, kalut, dan sedih.

Sebelum kami berkahwin, saya pernah marah padanya disebabkan sesuatu perkara. Bukan secara kasar, tetapi dengan menyatakan kemarahan saya dalam nada yang tegas tanpa menjerit.

Dia terus pecah dan menangis teresak-esak, sukar untuk dihentikan. Setiap manusia itu memang unik. Saya dijodohkan dengan seseorang yang kuat, bersemangat tinggi tetapi sangat rapuh dan mudah sedih apabila dimarahi.

Mungkin itulah sebabnya kami dijodohkan bersama, kerana saya memiliki daya ketahanan yang tinggi menghadapi tekanan dan boleh menjadi pelindung untuknya.

Pernah sekali pada tahun lepas, saya ingat lagi dia melakukan kesalahan terhadap saya. Dia menangis teresak-esak dan berkata, “Abang, janganlah marah, sayang tak ada kawan nanti.” Ketika menulis ayat ini, air mata saya mengalir. Kerana sehingga kini, saya masih merasakan apa yang saya rasai saat isteri saya berkata begitu.

Betapa insan di dalam pelukan ini sangat memerlukan saya dalam hidupnya dan menyesal atas perbuatannya. Saya merasa amat sedih dan terharu. Saya memeluknya dengan rapat, mencium rambutnya, mengusap belakang badannya, dan memberikan kata-kata semangat untuk memulihkan keadaannya.

Seperti lelaki, seorang wanita juga merasakan bersalah atas kesilapannya. Namun, lumrah wanita adalah mereka dilahirkan dengan emosi yang mendalam. Kadang-kadang emosi itu boleh menjadi teramat kuat sehingga menyebabkan mereka tidak terkawal.

Jadi, bagaimana cara untuk memarahi isteri tanpa memarahi? Saya tidak katakan ianya mudah. Suami perlu memiliki kesabaran yang tinggi untuk menghadapi situasi ini dengan baik.

Bertenang dan dengar penjelasan daripada dia. Tidak ada gunanya dua orang bercakap pada masa yang sama.

Jangan meninggikan suara. Ada perbezaan antara bertegas dan meninggikan suara. Ketegasan bermaksud anda kesal kerana perkara itu terjadi, tetapi memarahi akan menjadikan keadaan lebih negatif.

Terangkan kesalahannya dan bagaimana ia sepatutnya boleh dielakkan. Seperti mendidik anak, kadang-kadang isteri juga kurang memahami mengapa sesuatu perkara boleh mendatangkan masalah. Menjadi tugas suami untuk menerangkan apa yang kurang.

Tekankan betapa pentingnya berkongsi dengan suami tentang apa yang ingin dilakukan sebelum ia dilakukan. Tidak semuanya memerlukan keizinan, tetapi pendapat orang kedua adalah penting dan boleh membuka pandangan baru.

Jangan menuduh atau mengungkit. Sebagai lelaki, kita tidak sepatutnya menghukum perkara yang telah lama berlaku atas perkara yang sedang berlaku. Fokus kepada situasi sekarang dan bukan menambah berat kesalahan itu dengan kesalahan lalu.

Jangan sekali-kali memaki. Perkataan yang perlu dielakkan adalah “bodoh”, “lembab”, “degil”, dan lain-lain. Simpan perkataan itu dalam hati. Kesan daripada kata-kata tersebut boleh menjadi sangat buruk dan berpanjangan jika terkeluar dari mulut suami.

Berikan isteri ruang. Jangan terlalu menekan. Jika dia terlalu tertekan, kesannya boleh menjadi tidak baik. Kadang-kadang ia boleh menyebabkan keadaan menjadi luar kawalan. Jika berlarutan, risiko depresi juga boleh terjadi.

Akhir sekali, peluklah isteri kamu. Maafkanlah dia. Ciumlah rambutnya. Dia juga seorang manusia, tidak terlepas dari melakukan kesilapan seperti kita.

Akhiri semua itu dengan positif. Ada kemungkinan, dengan kesilapan isteri dan cara pengendalian suami, ikatan hubungan ini akan semakin erat. In Shaa Allah.

Bagaimanapun, setelah isterinya menyesali kesalahan yang dilakukan, Akhtar terus memberikan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi dan memujuknya kembali.

BACA: Cuma beri idea cara bernas urus sisa manusia, agensi ini tawar ganjaran RM13 juta!