Ini senarai Tun yang ada dalam Malaysia, tak sampai 25 pun

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Gelaran “Tun” telah wujud dalam masyarakat Malaysia sejak berabad lamanya.

Dahulu, ia merupakan gelaran kehormat yang hanya diberikan kepada golongan bangsawan berketurunan raja, dan gelaran ini diwarisi oleh kaum lelaki.

Hari ini, “Tun” merupakan salah satu anugerah tertinggi yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong di Malaysia.

Ia setaraf dengan gelaran “Lord” di United Kingdom. Gelaran ini diberikan kepada individu yang dianggap telah memberi sumbangan luar biasa kepada negara,

Dan penerimanya akan dianugerahkan Darjah Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) atau Darjah Seri Setia Mahkota (SSM).

Ini senarai Tun yang ada dalam Malaysia, tak sampai 25 pun

Gelaran “Tun” bukanlah gelaran yang diberikan kepada sebarang individu, kerana hanya sekitar 35 orang sahaja yang memegang gelaran ini pada satu-satu masa.

Kebanyakan penerima anugerah ini adalah pemimpin negara yang telah banyak berjasa, seperti Perdana Menteri yang telah berkhidmat lama.

Pemegang gelaran “Tun” akan menerima gelaran tersebut, manakala isteri mereka akan digelar “Toh Puan”.

Namun, penting untuk diketahui bahawa anugerah SMN dan SSM, walaupun sangat tinggi, sebenarnya berada di kedudukan ke-4 dan ke-5 dalam hierarki anugerah persekutuan. Gelaran tertinggi dalam sistem anugerah persekutuan Malaysia ialah Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SPGP).

Secara automatik, semua Perdana Menteri Malaysia yang telah bersara akan dianugerahkan gelaran “Tun”, kecuali untuk bekas Perdana Menteri Malaysia ke-7. Ini menunjukkan betapa pentingnya gelaran ini dalam sistem penghargaan negara Malaysia.

Senarai Penerima Anugerah yang Masih Hidup:

Md Raus Sharif (SSM – 2017)
Tun Tan Sri Dato’ Seri Md Raus bin Sharif (lahir 4 Februari 1951) merupakan Ketua Hakim Negara Malaysia dari 1 April 2017 hingga 31 Julai 2018. Beliau menggantikan Arifin Zakaria.

Samy Vellu Sangalimuthu (SSM – 2017)
Tun Tan Sri Dato’ Seri Samy Vellu a/l Sangalimuthu (lahir 8 Mac 1936), lebih dikenali sebagai Samy Vellu, Beliau merupakan Presiden MIC dan telah memegang jawatan berkenaan sejak 1979. Beliau merupakan bekas Menteri Kerja Raya Malaysia.

Michael Chen Wing Sum (SSM – 2017)
Tun Tan Sri Dato’ Michael Chen Wing Sum merupakan bekas Timbalan Presiden MCA, bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia dan pernah menjadi Yang Dipertua Dewan Negara. Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Persatuan Pingpong Malaysia dan mengetuai pasukan itu ke China dan berjaya merapatkan hubungan negara Malaysia dengan China.

Abdul Taib Mahmud (SMN – 2014)
Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud (lahir pada 21 Mei 1936 di Miri, Sarawak) adalah mantan Ketua Menteri Sarawak yang ke-4 dan juga Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak yang ke-7, mantan Menteri Kewangan dan Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Negeri, dan mantan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti komponen Gabungan Parti Sarawak. Beliau berketurunan Melanau.

Arifin Zakaria (SSM – 2012)
Tun Arifin Zakaria merupakan Hakim Besar Malaya mulai 18 Oktober 2008.

Juhar Mahiruddin (SMN – 2011)
Tun Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin (lahir 5 November 1953 di Pulau Tambisan, Sandakan, Sabah) adalah Yang Di-Pertua Negeri Sabah ke-10 bermula 1 Januari 2011. Beliau juga merupakan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah ke-7 dan Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat ke-11. Beliau adalah antara pengasas UMNO negeri Sabah.

Abdullah Ayub (SSM – 2011)
Tun Abdullah Bin Ayub (lahir 3 Januari 1926 di Pasir Panjang Laut, Sitiawan, Perak) adalah bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, bekas Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bekas Ketua Setiausaha Negara, bekas Pengerusi Lembaga Letrik Negara (LLN) dan bekas Pengerusi Tribunal Perkhidmatan Awam.

Abdullah Ahmad Badawi (SMN – 2009)
Tun Dato’ Seri Haji Abdullah bin Haji Ahmad Badawi (lahir 26 November 1939), juga dikenali sebagai Pak Lah) merupakan bekas Perdana Menteri Malaysia ke-5 dan bekas Presiden UMNO ke-6. Selepas melepaskan jawatan Perdana Menteri Malaysia, 1 September 2009, beliau dilantik menjadi Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Jeanne Abdullah (SSM – 2009)
Tun Jeanne binti Abdullah (lahir sebagai Jeanne Danker pada 29 Julai 1953) merupakan isteri kedua kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi (bekas Perdana Menteri Malaysia ke-5).

Zaki Azmi (SSM – 2009)
Tun Dato’ Seri Zaki Tun Azmi dilantik sebagai Ketua Hakim Negara dari 21 Oktober 2008 hingga 9 September 2011. Sebelum itu beliau merupakan Presiden Mahkamah Rayuan. Beliau merupakan hakim pertama di Malaysia dilantik terus ke Mahkamah Persekutuan. Beliau merupakan anak kepada Ketua Hakim Negara yang kedua, Allahyarham Tun Mohamed Azmi Mohamed.

Abdul Hamid Mohamad (SSM – 2008)
Tun Abdul Hamid Mohamad (lahir 18 April 1942) merupakan mantan Ketua Hakim Negara Malaysia ke 12.

Ahmad Sarji Abdul Hamid (SSM – 2008)
Tun (Dr) Haji Ahmad Sarji Abdul Hamid (lahir 16 September 1938 di Kampung Batu Tiga, Tapah, Perak) merupakan bekas Ketua Setiausaha Negara, bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan dan Perindustrian, Ketua Pengarah yang pertama Lembaga Pertubuhan Peladang, bekas Timbalan Ketua Pengarah (Sektoral), Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, bekas Timbalan Pengerusi dan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), bekas Timbalan Ketua Pengarah (I) Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, bekas pengerusi SIRIM, Malaysia National Insurance (Holdings) Berhad, MIDF, Sime Darby Berhad,
dan Golden Hope Plantations Berhad.

Musa Hitam (SSM – 2006)
Tun Musa Hitam (lahir 18 April 1934) ialah Timbalan Perdana Menteri ke-5 Malaysia dari 1981 hingga 1986 di bawah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad.

Ahmad Fairuz Abdul Halim (SSM – 2005)
Tun Ahmad Fairuz Abdul Halim (lahir 1 November 1941) merupakan bekas Ketua Hakim Malaysia yang ke-4 (2003 – 2007).

Mohd Khalil Yaakob (SMN – 2004)
Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob (lahir 29 Disember 1937) merupakan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-6. Beliau merupakan bekas Menteri Besar Pahang dan bekas Setiausaha Agung UMNO.

Ling Liong Sik (SSM – 2004)
Tun Dr. Ling Liong Sik (lahir 18 September 1943) adalah ahli politik Malaysia berbangsa Cina dan juga bekas Menteri Pengangkutan Malaysia. Di peringkat akar umbi, beliau merupakan bekas Presiden MCA (1986-2003).

Mahathir bin Mohamad (SMN – 2003)
Tun Dr. Mahathir bin Mohamad (lahir 10 Julai 1925) adalah Perdana Menteri Malaysia ke-7 dan mantan Perdana Menteri Malaysia ke-4.

Siti Hasmah Mohamad Ali (SSM – 2003)
Tun Dr. Siti Hasmah binti Haji Mohamad Ali (lahir 12 Julai 1930) merupakan isteri kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 dan ke-7.

Ahmadshah Abdullah (SMN – 2003)
Tun Datuk Seri Panglima Ahmadshah Abdullah (lahir 9 Disember 1946 di Inanam, Kota Kinabalu, Sabah) adalah Yang Di-Pertua Negeri Sabah ke-9 bermula 1 Januari 2003. Beliau anak bongsu dalam enam adik-beradiknya.

Mohamed Dzaiddin Abdullah (SSM – 2002)
Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah (lahir 1937 di Arau, Perlis) pernah menjadi Ketua Hakim Negara Malaysia pada tahun 2000-2003.

Abdul Rahman Abbas (SMN – 2001)
Tun Dato’ Seri Utama Dr. Hj. Abdul Rahman Abbas (lahir 15 April 1938 di Kampung Permatang Rambai, Kepala Batas, Pulau Pinang) adalah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang ke-7 sejak tahun 2001 hingga kini. Beliau juga menjadi Canselor Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Mohd Eusoff Chin (SSM – 1997)
Tun Mohd Eusoff Chin adalah bekas Ketua Hakim Negara dari tahun 1994 hingga ke tahun 2000.

Sakaran Dandai (SMN – 1996)
Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran bin Dandai adalah pernah menjadi Ketua Menteri Sabah ke-8 selama setahun mulai 26 Disember 1994. Beliau menggantikan Joseph Pairin Kitingan apabila PBS tewas pada Mac 1994.

Mohammed Hanif Omar (SSM – 1993)
Tun Mohammed Hanif bin Omar (lahir 16 Januari 1939) merupakan Ketua Polis Negara Malaysia yang ke-4 dan juga Ketua Polis Negara yang paling lama berkhidmat di Malaysia iaitu selama 20 tahun. Beliau menggantikan Tan Sri Abdul Rahman Hashim yang telah terbunuh akibat serangan komunis.

Daim Zainuddin (SSM – 1991)
Tun Daim Zainuddin (lahir 11 November 1938) merupakan bekas Menteri Kewangan Malaysia, dan usahawan yang terkenal.

Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar (SMN – 1987)
Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Baginda Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj (diputerakan pada 22 November 1958) merupakan anakanda ketiga baginda bongsu dan putera sulung kepada Sultan Iskandar dan YAM Enche Besar Hajah Khalsom Binti Abdullah. Baginda merupakan Sultan Johor ke-25 dan terkini serta merupakan Sultan Johor era moden ke-5 dari Kerabat Temenggong.

Mohamed Salleh Abas (SSM – 1985)
Tun Mohamed Salleh Abas (Lahir 25 Ogos 1929) ialah bekas Ketua Hakim Negara Malaysia dan juga bekas ADUN. Beliau terkenal sebagai Ketua Hakim Malaysia yang dipecat semasa krisis perlembagaan pada tahun 1988, sekali gus mengakibatkan beliau kehilangan pencennya.

Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng (SMN – 1978)
Tun Pehin Sri Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin bin Abang Barieng (lahir 27 Ogos 1921) adalah Yang di-Pertua Negeri Sarawak dari tahun 1977 hingga 1981 dan sekali lagi dari tahun 2001 hingga 2014. Beliau merupakan orang pertama untuk menjadi gabenor dua kali. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Abang Louis, oleh rakan-rakan lama dan kenalan beliau, terutamanya di negeri kelahirannya iaitu Sibu. Tempoh perkhidmatan beliau tamat secara rasmi pada 28 Februari 2014 dan digantikan oleh bekas Ketua Menteri Sarawak, Abdul Taib Mahmud, pada 1 Mac.

Rahah Mohamed Noah (SSM – 1976)
Tun Hajjah Rahah binti Tan Sri Haji Mohamed Noah adalah isteri kepada Perdana Menteri Malaysia kedua Tun Haji Abdul Razak bin Dato Haji Husein. Beliau juga ibu kepada Perdana Menteri ke-6 Mohd Najib bin Abdul Razak.

SMN – 9 orang
SSM – 20 orang

Penerima Anugerah yang Telah Meninggal Dunia:

Azizan Zainul Abidin (SSM – 2010)
Tun Azizan Zainul Abidin (lahir 28 Mei 1935 di Ayer Itam, Pulau Pinang) merupakan bekas presiden Perbadanan Putrajaya dan juga presiden Petronas.

Endon Mahmood (SSM – 2009)
Tun Datin Paduka Seri Endon Mahmood (24 Disember 1940 – 20 Oktober 2005) merupakan isteri pertama kepada mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi.

Lim Keng Yaik (SSM – 2008)
Tun Dr. Lim Keng Yaik (8 April 1939 – 22 Disember 2012), merupakan bekas Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia dan Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi.

Ghazali Shafie (SSM – 2005)
Tun Muhammad Ghazali Shafie (22 Mac 1922 hingga 24 Januari 2010) pernah berkhidmat di bawah empat perdana menteri bermula dari zaman Tunku Abdul Rahman sehingga era Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bermula sebagai Menteri Tugas-tugas Khas (1970) di dalam kabinet, beliau kemudiannya dilantik sebagai Menteri Tugas-tugas Khas dan Penerangan pada April 1972. Beliau bertanggungjawab membentuk, merangka dan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru serta merangka Rancangan Malaysia Kedua 1970-1975. Selepas itu, beliau dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri dan Penerangan, sebelum bertukar ke jawatan Menteri Luar Negeri (Julai 1981-Julai 1984). Dasar luar semasa zaman Tun Abdul Razak diperkukuhkan dengan pembentukan ICG iaitu Majlis Antara Kerajaan-Kerajaan.

Beliau pernah menjadi pegawai kerajaan dan duta kanan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Peranan beliau amat berkesan bagi menghadapi kebanjiran pendatang haram Vietnam ke Pulau Bidong, Terengganu pada 1975. Kepakaran beliau dalam bidang perhubungan antarabangsa amat terserlah serta dihormati dan ini dapat dilihat melalui jawatan-jawatan yang disandang termasuk Pengerusi Persidangan Asia mengenai persoalan Palestin pada 1983, ahli Suruhanjaya Selatan dan juga pengerusi suruhanjaya yang ditubuhkan bagi membuat cadangan mengenai rombakan dan pengukuhan mekanisme Asean.

Abdullah Mohd Salleh (SSM – 2003)
Tun Abdullah bin Mohd Salleh dilahirkan di Kampong Batu, Padang Sebang, Melaka pada 24 Jun 1926. Beliau menang bertanding sebagai Ahli Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1959 bagi kawasan Segamat Utara, negeri Johor (1958-1964). Ketika itu Perdana Menteri Malaysia ialah Tunku Abdul Rahman dan Timbalan Perdana Menteri ialah Tun Abdul Razak Hussein. Pilihan raya ini adalah yang pertama selepas merdeka, 31 Ogos 1957.

Fatimah Hashim (SSM – 2003)
Tun Tan Sri (Dr) Hajjah Fatimah Hashim (lahir 25 Disember 1924 hingga 9 Januari 2010) ialah Menteri Kebajikan Am Malaysia antara 20 Mei 1969 hingga 28 Februari 1973 serta wanita pertama Malaysia dilantik sebagai Menteri Kabinet Malaysia.

Sulaiman Ninam Shah (SSM – 2001)
Tun Sulaiman Ninam Shah (2 Januari 1920 hingga 5 Julai 2003) dilahirkan di Kampung Sarang Buaya, Muar, Johor, Malaysia daripada keturunan darah India Muslim-Melayu. Sulaiman Ninam Shah merupakan seorang usahawan perniagaan yang berjaya, ahli veteran politik, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Johor bagi Parit Jawa (1959-1964) serta bekas Senator dan Timbalan Speaker Dewan Negara. Beliau juga adalah salah seorang pengasas UMNO dan bekas Pengerusi Tetap UMNO (1976-2003).

Ibrahim bin Ismail (SSM 2000)
Jeneral Tun Ibrahim Dato’ Ismail ialah Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia yang ketiga. Perlantikan beliau unik kerana beliau asalnya pegawai kadet dalam pasukan Askar Timbalan Setia Johor (Johore Military Force, JMF). Tidak kurang uniknya, beliau satu-satunya Panglima Angkatan Tentera yang dianugerahi gelaran ‘Tun’ oleh Yang Di-Pertuan Agong setakat ini.

Mohamed Zahir Ismail (SSM – 1998)
Tun Mohamed Zahir Ismail (19 Mac 1924 hingga 14 Oktober 2004) adalah bekas ahli politik dan peguam. Beliau adalah Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang paling lama berkhidmat dalam Parlimen Malaysia (14 Jun 1982 hingga 14 Oktober 2004). Beliau juga adalah bekas Canselor pertama International Medical University dari 1999 hingga 2004.

Abdul Ghafar bin Baba (SSM – 1995)
Tun Abdul Ghafar bin Baba (18 Februari 1925 hingga 23 April 2006) merupakan Timbalan Perdana Menteri di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Abdul Ghafar bin Baba mula memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 10 Mei 1986 sehingga 15 Oktober 1993. Kehadiran beliau dilihat sebagai tokoh penstabil politik Malaysia, ikon ‘tokoh politik kampungan’ yang berjiwa Melayu tulen.

Raja Tun Mohar Raja Badiozaman (SSM – 1992)
Raja Tun Mohar Raja Badiozaman dilahirkan pada 23 Mac 1922 di bandar di Raja Kuala Kangsar. Beliau pernah dilantik sebagai Setiausaha Am (Secretary General) Kementerian Kewangan. Pada tahun 1972, dia dilantik sebagai Penasihat Khas Ekonomi kepada Perdana Menteri. Raja Tun Mohar merupakan satu-satunya orang yang pernah berkhidmat dalam jawatan ini kepada tiga orang Perdana Menteri, iaitu Tun Razak hingga Tun Hussein dan Tun Mahathir. Dalam tempoh ini dia turut merupakan Pengerusi Syarikat Penerbangan Malaysia (Malaysian Airlines), Pengerusi Korporasi Kemajuan Perlancongan Malaysia, Pengerusi Bank Islam Malaysia, Pengerusi Yayasan Tun Razak, dan sehingga meninggal (8 Jun 2004), beliau merupakan antara lain sebagai Pengerusi Perodua.

Lim Chong Eu (SSM – 1991)
Tun Dr. Lim Chong Eu (28 Mei 1919 hingga 24 November 2010) menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang selama 21 tahun mulai Mei 1969 sehingga Oktober 1990. Beliau merupakan Presiden MCA (Mac 1958 – Julai 1959) selepas Tun Tan Cheng Lock, sebelum menjadi Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (1969-1980) selepas Professor Syed Hussein Alatas.

Suhailah Mohamed Noah (SSM – 1990)
Tun Suhailah binti Tan Sri Haji Mohamed Noah, adalah isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia ke-3, Tun Hussein bin Dato’ Onn dan ibu kepada bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin bin Tun Hussein. Beliau adalah anak perempuan kepada Tan Sri Haji Mohamed Noah Omar, bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Adiknya, Rahah Mohamed Noah, telah berkahwin dengan Perdana Menteri ke-2, Tun Abdul Razak Hussein. Hishammuddin Hussein adalah sepupu kepada anak Tun Rahah Mohamed Noah, Dato’ Seri Mohd Najib bin Abdul Razak yang merupakan Perdana Menteri ke-6. Tun Suhailah lahir pada 26 Oktober 1931 dan meninggal dunia pada 4 Oktober 2014.

Abdul Hamid Omar (SSM – 1989)
Tun Abdul Hamid Omar (25 Mac 1929 hingga 1 September 2009) merupakan bekas Ketua Hakim Negara Malaysia (1988-1994).[1] Beliau dilahirkan di Kuala Perlis.

Syed Ahmad bin Syed Mahmud Shahabuddin (SMN – 1989)
Tun Dato’ Seri Utama Syed Ahmad telah dilahirkan pada 4 Mei 1925 di Kulim, Kedah. Beliau telah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang keempat (14 Disember 1967 hingga tahun 1978) menggantikan Dato’ Syed Omar Shahabuddin yang meninggal dunia pada 7 Disember 1967. Pada tahun 1967, beliau turut dilantik menjadi Ahli Dewan Negara selama dua tahun sehingga tahun 1969. Seterusnya beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri Malaysia dari tahun 1978 hingga tahun 1980 dan menjadi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura dari tahun 1981 hingga 1988. Beliau telah dilantik sebagai Tuan Yang Terutama Negeri Melaka pada tahun 1989 hingga 2004 menggantikan Tun Syed Zahiruddin.

Ahmad Zaidi Adruce (SMN – 1989)
Tun Datuk Patinggi (Dr.) Ahmad Zaidi Adruce bin Muhammed Noor adalah Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang kelima. Beliau dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri bagi menggantikan Tun Abdul Rahman Ya’kub pada 1985. Beliau adalah gabenor yang paling lama berkhidmat di Sarawak (dalam tempoh berturut-turut dari pelantikan tunggal), dari pelantikan sulungnya pada tahun 1985, sehingga kematiannya pada tahun 2000. Beliau juga telah dikenang sebagai Sarawak Bumiputera yang pertama menerima Ijazah MA dari sebuah universiti Britain (University of Edinburgh).

Mohamed Said Bin Keruak (SMN – 1989)
Tun Haji Mohamed Said bin Keruak adalah seorang ahli politik Barisan Nasional – USNO di Malaysia. Beliau pernah menjadi Ketua Menteri Sabah (1975-1976) dan Yang di-Pertua Negeri Sabah (1987-1994).

Hamdan Tahir (SMN – 1989)
Tun Dr. Haji Hamdan bin Sheikh Tahir merupakan Naib Canselor Kedua Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang. Beliau menjadi pengetua pertama Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh, Perak (1957-1960). Seterusnya beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia sebelum terpilih menjadi Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang (1989-2001).

Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah (SSM – 1984)
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah Sultan Perak Darul Ridzuan (19 April 1928 hingga 28 Mei 2014) ialah Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-9 (26 April 1989 – 25 April 1994). Baginda merupakan Sultan dari negeri Perak Darul Ridzuan.

Syed Nasir Syed Ismail (SSM 1982)
Tun Syed Nasir Syed Ismail (7 Mac 1921 hingga 16 Mac 1982) merupakan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (1957–1969), Ahli Parlimen Muar Dalam (1971 – 1974) dan Parlimen Pagoh (1974 – 1978) sebelum dilantik menjadi Yang di-Pertua Dewan Rakyat (9 Januari 1978 – 16 Mac 1982). Anaknya Tan Sri Syed Mohd Yusof Syed Nasir merupakan seorang usahawan yang terkenal. Antara perniagaan beliau yang terkenal ialah Hardrock Cafe.

Awang Hassan (SMN – 1982)
Tun Datuk Dr. Haji Awang bin Hassan (November 1910 – 23 Oktober 1998) adalah seorang ahli politik Malaysia yang dilahirkan di Muar, Johor. Beliau merupakan adik ipar kepada Tun Dr Ismail Abdul Rahman (Timbalan Perdana Menteri Malaysia ke-2 slps Tun Razak) dan juga menantu kepada Speaker Dewan Negara yang pertama, Dato’ Abdul Rahman bin Mohd. Yassin. Beliau pernah menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan Ahli Parlimen Muar, dan merupakan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia sebelum menjadi Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ke-5. Beliau dan abang iparnya antara pengasas UMNO.

Abdul Rahman Ya’kub (SMN – 1982)
Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman bin Ya’kub (3 Januari 1928 – 9 Januari 2015) merupakan ahli politik Malaysia yang berketurunan Melanau dari Mukah. Beliau merupakan Ketua Menteri Sarawak ketiga dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-4 (2 April 1981 – 2 April 1985). Beliau juga merupakan bapa saudara kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang terkini, Tun Abdul Taib Mahmud.

Hussein Onn (SMN – 1981)
Tun Hussein bin Dato’ Onn (12 Februari 1922 – 29 Mei 1990) merupakan Perdana Menteri Malaysia ke-3 yang berkhidmat dari tahun 1976 sehingga 1981. Beliau dilihat sebagai seorang yang amat ikhlas dalam perjuangan untuk mencapai perpaduan kaum dan mempunyai reputasi untuk bertindak keras kepada sesiapa yang mencuba membangkitkan kekacauan perkauman di dalam negara. Oleh sebab usahanya dalam pemupukan perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia, Tun Hussein Onn telah dikenang sebagai ‘Bapa Perpaduan’. Beliau pernah menjadi Menteri Pelajaran dan kemudiannya menjadi Timbalan Perdana Menteri ke-3 sblm menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-3.

Jugah anak Barieng (SSM 1981)
Tun Datuk Patinggi Tan Sri Temenggung Jugah Anak Barieng, atau juga dikenali sebagai Tun Jugah atau Apai (Ayah dalam Bahasa Iban), dilahirkan di Ulu Kapit, Sarawak pada tahun 1903. Beliau pernah menjadi Ketua Orang Iban dan menubuhkan Parti Pesaka pada tahun 1962. Temenggung Jugah menyokong cadangan penubuhan Malaysia. Beliau menganggotai Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia. Beliau adalah pemimpin Sarawak yang pertama dilantik menjadi Menteri dalam Kerajaan Malaysia, dengan memegang jawatan Menteri yang menguruskan hal ehwal Sarawak. Beliau kemudiannya menjadi presiden pertama bagi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), sehingga beliau meninggal dunia pada 1981.

Ismail Mohd Ali (SSM 1980)
Tun Ismail Mohd Ali adalah bekas Gabenor Bank Negara Malaysia yang kedua (Julai 1962 – Julai 1980) dan pengerusi Perbadanan Nasional Berhad.

Beliau dilahirkan pada 16 September 1918 di Pelabuhan Klang, Selangor dan merupakan abang sulung kepada beberapa tokoh terkenal seperti Tan Sri Mohamed Hashim bin Mohd Ali (bekas Panglima Angkatan Tentera), Dato Ahmad Razali Mohd Ali (bekas Menteri Besar Selangor), Datuk Jaafar Mohd. Ali, Tun Siti Hasmah Mohd Ali (isteri Perdana Menteri Malaysia ke-4 dan ke-7), dan Datin Saleha Mohd Ali. Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ke-4 (1981-2003) dan ke-7 (2018-kini) merupakan adik iparnya.

Mohamad Adnan Robert (SMN – 1979)
(tiada maklumat)

Omar Ong Yoke Lin (SSM – 1979)
Tun Omar Ong Yoke Lin merupakan ahli politik MCA, keturunan Cina yang telah memeluk agama Islam (23 Julai 1917 – 31 Disember 1980). Beliau merupakan Speaker Dewan Negeri bagi tempoh Februari 1973 hingga 31 Disember 1980.

Ahmad Koroh (SMN – 1978)
(tiada maklumat)

Mohd Hamdan Abdullah (SMN – 1977)
(tiada maklumat)

Sardon Jubir (SMN – 1976)
Tun Sardon Haji Jubir (19 Mac 1917 – 14 Disember 1985) merupakan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang pada 1975 – 1981. Beliau juga pernah menjadi Menteri Kerjaraya dan Komunikasi pada tahun 1971-1975.

Syed Zahiruddin bin Syed Hassan (SMN – 1976)
Tun Syed Zahiruddin bin Syed Hassan merupakan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka dari 23 Mei 1975 hingga 30 November 1984.

Mohamed Suffian Mohamed Hashim (SMN – 1975)
(tiada maklumat)

Mohammad Fuad Stephens (SMN – 1974)
Tun Haji Mohammad Fuad Stephens (14 September 1920, Kudat – 6 Jun 1976, Kota Kinabalu), dilahirkan sebagai Donald Aloysius Marmaduke Stephens, merupakan Ketua Menteri Sabah yang pertama dan ke-5. Beliau juga merupakan Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-3.

Abdul Aziz Abdul Majid (SMN – 1972)
Tun (Dr) Haji Abdul Aziz Abdul Majid dilahirkan pada 10 Mac 1908 di Kajang, Hulu Langat, Selangor, Malaysia. Beliau meninggal dunia pada 10 Mei 1975 di kediaman rasminya di Sri Melaka ketika berusia 67 tahun. Beliau pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, Menteri Besar Selangor dan jawatan terakhir beliau ialah Gabenor Negeri Melaka (kini Yang di-Pertua Negeri Melaka) ke-3.

Syed Sheh Hassan Barakbah (SMN – 1970)
Tun Tan Sri Syed Sheh bin Syed Hassan Barakbah (lahir 10 November 1906 – 8 Oktober 1975) menjadi Gabenor / Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang dari 1969-1975. Beliau menggantikan Tun Tan Sri Syed Sheh bin Syed Abdullah Shahabudin (1967 – 1969) yang meninggal dunia. Selepas beliau ialah Sardon Jubir (1975 – 1981).

Tuanku Bujang Tuanku Othman (SMN – 1970)
Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang bin Tuanku Othman adalah Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang kedua. Beliau dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri bagi menggantikan Tun Abang Haji Openg pada 1969.

Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah (SMN – 1970)
Tun Sharifah Rodziah binti Syed Alwi Barakbah merupakan isteri ketiga bagi Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah, Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Azmi Mohamed (SSM – 1970)
(tiada maklumat)

Syed Sheh Shahabudin (SMN – 1968)
Tun Syed Sheh bin Syed Abdullah Shahabudin menjadi Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Malaysia dari 1967 hingga 1969.

Pengiran Ahmad Raffae (SMN – 1967)
Pengiran Ahmad Raffae Pengiran Omar (4 November 1908 – Mac 1995) adalah Yang di-Pertua Negeri Sabah kedua selepas Tun Datu Mustapha Datu Harun.

V. T. Sambanthan (SSM – 1967)
Tun Veerasamy Thirunyana Sambanthan (16 Jun 1919 – 18 Mei 1979) ialah Presiden ke-5 Kongres India Malaya (MIC), serta menteri penuh dalam pelbagai kementerian dalam kerajaan Malaysia.

Tan Siew Sin (SSM – 1967)
Tun Tan Siew Sin (21 Mei 1916 – 18 Mac 1988) ialah Presiden Ke-3 MCA selepas Tun Tan Cheng Lock (ayahnya), dan Lim Chong Eu. Beliau juga merupakan bekas Menteri Kewangan Malaysia dari tahun 1959-1974.

Ismail Abdul Rahman (SSM – 1966)
Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman (4 November 1915 – 2 Ogos 1973) merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri kepada Perdana Menteri Malaysia yang kedua iaitu Tun Abdul Razak. Beliau adalah Timbalan Perdana Menteri kedua selepas Tun Abdul Razak dan sebelum Tun Hussein Onn (22 September 1970 – 2 Ogos 1973).

Abang Haji Openg (SMN – 1964)
Tun Abang Haji Openg Abang Sapiee adalah Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang pertama. Beliau dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri setelah Sarawak menyertai Sabah, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia. Sebelum itu, jawatan tersebut bergelar ‘Tuan Yang Terutama Gabenor Koloni Mahkota British Sarawak’, di mana mereka yang dipilih untuk memegang jawatan tersebut dilantik oleh King George VI dari 1946 hingga 1952, dan seterusnya oleh Ratu Elizabeth II dari 1952 hingga 1963. Beliau memegang jawatan tersebut dari 1963 hingga beliau meninggal dunia pada 28 Mac,1969.

Mustapha bin Harun (SMN – 1964)
Tun Datu Mustapha Datu Harun (31 Julai 1918 hingga 2 Februari 1995) merupakan Yang di-Pertua Negeri Sabah pertama (16 September 1963 hingga 16 September 1965) dan Ketua Menteri Sabah ketiga (1967-1975). Beliau juga digelar ‘Bapa Kemerdekaan Sabah’ dan ‘Bapa Pembangunan Sabah’.

Abdul Malek bin Yusof (SMN – 1961)
Tun Abdul Malek bin Yusof merupakan Menteri Besar Negeri Sembilan yang pertama dilantik, sejak 1 Februari 1948 iaitu selepas tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu.

Abdul Razak Hussein (SMN – 1959)
– Tun Haji Abdul Razak bin Dato’ Hussein (11 Mac 1922 – 14 Januari 1976) merupakan Perdana Menteri Malaysia kedua yang berkhidmat dari tahun 1970 sehingga 1976. Beliau terkenal dalam pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB – 1971) yang bertujuan untuk mengatasi masalah dalam ekonomi dan sosial yang telah membangkitkan antagonisme, perkauman dalam kalangan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum. Selepas kematiannya, beliau telah dikenang sebagai ‘Bapa Pembangunan’.

H. S. Lee (SMN – 1959)
Tun Sir Henry Lee Hau-shik, lebih dikenali sebagai Tun H. S. Lee (19 November 1900–22 Jun 1988) merupakan antara tokoh yang terlibat dalam mendapatkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian menjadi Menteri Kewangan pertama dalam Jemaah Menteri Malaya pertama. Beliau juga pernah menjadi Menteri Pengangkutan dalam kabinet sementara sebelum kemerdekaan.

Tengku Budriah binti Almarhum Tengku Ismail (SMN – 1959)
Raja Permaisuri Agong ke-3, permaisuri kepada Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail, Raja Perlis.

Tuanku Puan Besar Kurshiah binti Almarhum Tuanku Besar Burhanuddin (SMN – 1958)
Raja Permaisuri Agong Pertama, permaisuri kepada Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim (SMN – 1958)
Sultan Ismail Ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim Al-Masyhur (28 Oktober 1894 – 10 Mei 1981) merupakan Sultan Johor ke-23 (sultan johor era moden ke-4 daripada keturunan wangsa Temenggong) dari 8 Mei 1959 – 10 Mei 1981 yang menggantikan ayahandanya, Almarhum Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar.

Tuanku Munawir ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman (SMN – 1958)
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Munawir ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman merupakan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang kesembilan dari 5 April 1960 – 14 April 1967. Baginda merupakan putera sulung kepada Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang pertama iaitu Almarhum Tuanku Abdul Rahman melalui Tuanku Maharunnisa Binti Tunku Membang.

Sultan Yahya Petra ibni al-Marhum Sultan Ibrahim (SMN – 1958)
Yang di-Pertuan Agong ke-6, dari Kelantan.

Leong Yew Koh (SMN – 1958)
Tun Leong Yew Koh adalah pernah menjadi Gabenor Negeri Melaka dari 31 Ogos 1957 hingga 30 Ogos 1963.

Raja Tun Uda Al-Haj bin Raja Muhammad (SMN – 1958)
Raja Tun Sir Uda Al-Haj bin Raja Muhammad (1894 – 17 Oktober 1976) ialah Gabenor Pulau Pinang yang pertama yang berkhidmat antara 31 Ogos 1957 sehingga 30 Ogos 1967. Beliau menjadi Menteri Besar Selangor dari 1 Julai 1949 hingga 1953.

Tan Cheng Lock (SMN – 1958)
Tun Dato’ Sir Tan Cheng Lock (5 April 1883 hingga 13 Disember 1960) ialah seorang pemimpin politik Cina di Tanah Melayu yang merupakan presiden pertama Persatuan Cina Tanah Melayu (MCA) pada tahun 1949.

SMN – 33 (meninggal dunia)
SSM – 23 (meninggal dunia)

JUMLAH SMN – 42
JUMLAH SSM – 43

JUMLAH KESELURUHAN
85 orang penerima anugerah SMN dan SSM

BACA: Populariti Aisar Khaleed meningkat di Indonesia sampai terpaksa di kawal Polis, kalah artis Malaysia