“Idea penganjuran ini dicetuskan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, pada tahun yang sama Baginda ditabalkan sebagai Sultan Selangor.
“Mengimbas kembali, perseteruan antara Selangor dan Singapura dalam bola sepak Malaysia adalah sangat menarik
kerana kedua-dua pasukan ini adalah yang paling berjaya dalam sejarah Liga Malaysia pada masa itu,” kata kenyataan itu hari ini.
Pejabat Diraja Selangor menjelaskan bahawa TSSC merupakan acara eksklusif yang menampilkan satu perlawanan utama
antara Pilihan Selangor dan Pilihan Singapura, di samping perlawanan persahabatan antara pasukan Veteran Selangor dan Veteran Singapura.
“Sejak Piala Malaysia diperkenalkan pada tahun 1921 (ketika itu dikenali sebagai Piala Malaya, kemudian Piala HMS Malaya), Selangor dan Singapura adalah antara pasukan terhebat dan sering bertembung di perlawanan akhir untuk merebut piala tersebut.
“Malah, perlawanan akhir pertama Piala Malaya pada tahun 1921 menyaksikan Singapura menewaskan Selangor,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Selangor dan Singapura juga bertemu sebanyak 22 kali di perlawanan akhir Piala Malaysia, di mana Selangor telah menjulang 33 kejuaraan Piala Malaysia, kali terakhir pada tahun 2015, sementara Singapura meraih 22 kejuaraan.
“Pertembungan antara Selangor dan Singapura sentiasa dinantikan dan dikenali sebagai Malayan El Clàsico, dengan kedua-dua pasukan ini menunjukkan persaingan yang sihat dan saling menghormati, sehingga Singapura menarik diri dari Liga Malaysia pada tahun 1994,” katanya.
Oleh itu, Sultan Sharafuddin mencadangkan penganjuran Piala Sultan Selangor bermula pada tahun 2001 untuk meraikan perseteruan tradisi antara Selangor dan Singapura yang pernah memeriahkan arena bola sepak tempatan.
“TSSC dianjurkan setiap tahun sama ada di Stadium Shah Alam atau Stadium Nasional Singapura, dengan kejohanan terakhir berlangsung pada tahun 2019 sebelum ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.
“Sepanjang lebih dua dekad penganjurannya, TSSC telah dimenangi oleh Pasukan Pilihan Selangor sebanyak sembilan kali pada tahun 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013, 2014, 2018 dan 2019.
“Pasukan Pilihan Singapura pula menjuarai sebanyak tujuh kali pada tahun 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2016 dan 2017,” katanya.
Namun, pada tahun 2004, kedua-dua pasukan berkongsi gelaran juara, dan pada tahun 2015 kejohanan terpaksa dibatalkan kerana jerebu.
“Dalam edisi 2024, TSSC kali ini dianggap istimewa kerana diadakan semula di medan keramat kedua-dua pasukan, iaitu di Stadium Merdeka.
“Pada edisi ke-20 yang berlangsung pada 17 Ogos lalu, Pasukan Pilihan Selangor berjaya merangkul kejuaraan hatrik berturut-turut dengan menewaskan Pasukan Pilihan Singapura 2-1,” katanya.
Kenyataan itu menambah, lagenda bola sepak Selangor seperti Datuk Zainal Abidin Hassan dan lagenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad, mengakui mereka amat teruja dengan penganjuran TSSC yang dianggap sebagai platform untuk mengimbas kembali nostalgia ‘permusuhan tradisi’ antara kedua-dua pasukan.
“Diharapkan penjelasan ini dapat memberikan fakta yang tepat dan manfaat pengetahuan yang lebih jelas kepada masyarakat, khususnya generasi baharu yang mungkin masih belum memahami atau terkeliru dengan maklumat tentang sejarah sebenar TSSC.
“Yang ingin ditekankan juga adalah simbolik persahabatan dan semangat kesukanan yang diraikan melalui TSSC ini dapat menjadi teladan dalam membanteras gejala keganasan sukan yang masih berleluasa, khususnya dalam arena bola sepak tempatan. Hentikan Keganasan Dalam Sukan Bola Sepak,” menurut kenyataan itu.