Ini sebab kenapa lori tangki bentuk silinder, bukan bentuk petak

Oleh CHE HUSNA KAMARUZZAMAN

Mengapa tiada tangki minyak berbentuk lain, seperti kiub atau segi tiga yang digunakan?

Kali ini, kami di SK ingin berkongsi dengan anda beberapa informasi menarik berkenaan

lori tangki minyak bagi menjawab persoalan tersebut.

Kenapa tangki minyak berbentuk silinder, bukan segi empat?

Menurut portal Science ABC, struktur silinder adalah bentuk yang kuat dan stabil, serta tidak mempunyai titik lemah yang memerlukan pengukuhan tambahan.

Ini sebab kenapa lori tangki bentuk silinder, bukan bentuk petak

Sebaliknya, bentuk seperti segi empat tepat dan segi empat sama mempunyai sudut dan penjuru yang menjadi titik lemah ketika berdepan tekanan.

Mudahnya, bentuk-bentuk selain silinder berisiko untuk rosak atau gagal dengan lebih cepat apabila perlu menampung tekanan yang tinggi. Konsep ini juga boleh dilihat pada tingkap kabin pesawat yang berbentuk bulat, bukannya berbentuk petak, bagi menahan tekanan.

Sfera adalah bentuk terbaik untuk menyimpan cecair kerana ia membenarkan penyimpanan isipadu maksimum bagi satu kawasan permukaan. Namun, sfera tidak mudah untuk diangkut. Oleh itu, bentuk sfera yang dipanjangkan, atau dikenali sebagai silinder, digunakan sebagai tangki minyak.

Kestabilan lori tangki minyak berbentuk silinder

Faktor kestabilan lori tangki minyak ketika mengangkut cecair seperti minyak dan gas yang mudah terbakar juga sangat penting. Untuk mengurangkan risiko, lori tangki dibina dengan pusat graviti yang rendah. Dengan itu, bentuk tangki perlu mempunyai titik graviti yang serendah mungkin dari tanah.

Dalam hal ini, segi empat tepat dan segi empat sama adalah pilihan yang kurang baik kerana titik graviti mereka lebih tinggi berbanding bentuk silinder.

Meminimakan impak pergerakan cecair ketika lori tangki bergerak

Selain itu, struktur silinder juga dapat meminimakan impak pergerakan cecair ketika lori tangki bergerak atau membrek. Impak yang kuat dari situasi ini berisiko menyebabkan lori terbalik ketika melalui selekoh atau hentaman kuat semasa dihentikan.

Oleh itu, setiap lori tangki dilengkapi dengan kepingan logam di dalamnya bagi mengurangkan impak pergerakan cecair.

Proses pengekstrakan minyak dan penyelenggaraan lebih mudah

Struktur silinder juga memudahkan proses pengestrakan kandungan cecair yang disimpan kerana ia membolehkan cecair mengalir ke bahagian bawah tangki. Lori tangki berbentuk segi empat juga lebih sukar untuk dibersihkan berbanding yang berbentuk silinder.

Seperti yang telah dinyatakan, bentuk segi empat yang mempunyai sudut penjuru akan menyebabkan lebih banyak kesan cecair melekat di kawasan tersebut.

Situasi ini akan mengambil masa lebih lama dan kos penyelenggaraan yang lebih tinggi berbanding dengan penyelenggaraan bentuk silinder.

BACA: Selepas 100 cawangan Starbucks ditutup, TGI Fridays pula bankrap