Apabila mengisi borang, pasti ada bahagian untuk memilih bangsa, dan biasanya ada pilihan seperti Melayu, Cina, India, serta “lain-lain” (dan perlu dinyatakan).
Pernahkah anda melihat kawan yang menandakan “lain-lain” dan menulis Bajau?
Jika ya, anda memang jenis berkawan tanpa batas, tetapi berkasih biar satu.
Bajau adalah salah satu bangsa pribumi di Malaysia. Terdapat dua jenis Bajau, iaitu Bajau Darat dan Bajau Laut (Pala’u).
Jika anda melawat Sabah atau menonton video mengenai negeri tersebut, anda akan lihat bahawa Bajau Darat sudah moden kerana mereka tinggal di darat
. Namun, kami di SOSCILI ingin berbicara sedikit mengenai Bajau Laut yang masih mengamalkan cara hidup tradisional di laut tanpa daratan. Adakah mereka masih wujud di Malaysia?
Asal Usul Bajau dan Perpindahan ke Filipina Selatan
Sebelum kita pergi lebih jauh, penting untuk memahami asal usul kaum Bajau. Kebanyakan orang Johor mungkin tidak tahu bahawa asal usul kaum ini ada kaitan dengan negeri mereka dalam pelbagai versi. Menurut cerita lisan Hj. Bakara Onnong, Johor yang dipimpin oleh Sultan Mahaikul Alam memiliki seorang puteri bernama Siti Zairan Kebaran, yang terkenal dengan kecantikan rupa parasnya. Dua beradik, Nuzum dan Seliangaya Bungsu dari Sulu, jatuh hati kepada puteri ini.
Untuk mengadilinya, Sultan Mahaikul Alam mengadakan perlumbaan perahu antara mereka. Siapa yang sampai ke Pulau Angsa di perairan Johor terlebih dahulu, akan dikahwinkan dengan puteri itu. Namun, malang bagi Seliangaya Bungsu apabila layar perahunya patah dan kalah dalam perlumbaan. Kecewa, dia tidak mahu kembali ke Johor dan terus belayar sehingga tiba di Pulau Sambuanga (Zamboanga) di selatan Filipina.
Kaum Bajau berasal dari keluarga besar Bajau di selatan Filipina. Pada abad ke-18, semasa pemerintahan Kesultanan Sulu, mereka berpindah ke kawasan perairan Sabah. Mengapa Sabah? Ini ada kaitan dengan kisah cinta merentas lautan tadi.
Di Pulau Sambuanga, Seliangaya Bungsu berkahwin dan dikurniakan seorang anak lelaki dan perempuan. Namun, anak-anaknya melakukan hubungan sumbang, menyebabkan Seliangaya Bungsu merasa malu dan belayar ke Pulau Omadal di perairan Sabah. Keturunannya berkembang dan mula berpindah ke Pulau Bum-Bum, Sabah, dan mereka yang menetap di daratan pulau-pulau ini dikenali sebagai Bajau Darat.
Namun, masih ada Bajau yang hidup di laut, dikenali sebagai Bajau Laut atau Pala’u, yang sudah wujud sejak lebih 300 tahun lalu. Bajau Laut tidak mempunyai sejarah tersendiri, mereka hanya menumpang sejarah Bajau Darat seperti yang telah disebutkan.
Bajau Laut: Tanpa Kerakyatan dan Negara
Bajau Laut hidup secara nomad, dan kebanyakan mereka berada di sekitar Laut Celebes, yang meliputi perairan Sabah, Indonesia, dan Filipina. Di Malaysia, mereka tinggal di sekitar Semporna, Kunak, Lahad Datu, Sandakan, Tawau, dan Kudat. Mereka memilih untuk tinggal di laut kerana mengikuti pantang larang nenek moyang mereka untuk tidak tinggal di darat. Sebagai akibatnya, mereka tidak memiliki kewarganegaraan.
Menurut Datuk Nasrun Datuk Mansur, Ahli Parlimen Silam, “Mereka tidak memerlukan IC atau pasport, mereka berpindah-randah dan tidak mengiktiraf mereka sebagai warganegara mana-mana negara. Mereka adalah orang yang berkeliaran.”
Mereka bukanlah pendatang asing tanpa izin atau pelarian, tetapi lebih kepada orang tanpa kerakyatan (stateless). Ketidakjelasan status mereka antara Malaysia dan Filipina menyebabkan mereka tidak mempunyai tempat tinggal tetap di daratan atau pulau. Walaupun begitu, Sabah memberi kelonggaran kepada mereka untuk bergerak bebas di perairan Malaysia dan Filipina atas dasar kemanusiaan.
Pada tahun 2008, kerajaan Malaysia dan Sabah telah melaksanakan program pemberian Mykad hijau (kerakyatan sementara) untuk pendatang tanpa izin dan pelarian, namun program ini tidak menyeluruh kerana Bajau Laut tinggal di laut dan hanya sebahagian kecil yang dapat didaftarkan.
Kesulitan Tinggal di Daratan
Kehidupan mereka sangat bergantung kepada laut. Ada adat yang memerlukan bayi yang baru lahir dibuang ke laut dan diselamatkan oleh bapanya untuk memberi kekuatan kepada bayi tersebut bahawa laut adalah kehidupan mereka.
Menurut Sarimah Asrian, seorang penduduk Pala’u, “Kami tidak biasa tinggal di darat. Kami hanya singgah untuk membeli barang dan kembali ke laut.”
Sebahagian daripada mereka hanya tinggal di darat untuk jangka masa yang singkat, biasanya tidak lebih dari lima hari, sebelum kembali ke laut untuk mencari ikan dan teruskan kehidupan mereka. Kehidupan mereka yang sudah terbiasa dengan laut menyebabkan mereka merasa tidak selesa atau pening jika berada terlalu lama di darat.
Perahu Bajau Laut: Rumah di Laut
Sejak zaman Kesultanan Sulu, Bajau Laut telah hidup di perahu. Mereka mengikut reka bentuk perahu tradisional seperti Kora-Kora dan Barangayan. Pada zaman kini, mereka menggunakan perahu berukuran antara 15 hingga 20 kaki panjang dan 2 hingga 3 kaki lebar yang dikenali sebagai perahu bogoo.
Perahu ini mempunyai bahagian depan untuk berkumpul, bahagian tengah sebagai tempat tidur, dan bahagian belakang untuk memasak. Walaupun mereka hidup di perahu, mereka menjalani kehidupan seperti biasa, memasak, makan, tidur, dan bekerja di dalam perahu. Keadaan perahu yang cukup stabil memungkinkan mereka hidup dalam ketenangan di laut.
Kehebatan Bajau Laut: Raja Laut
Masyarakat Bajau Laut dikenali sebagai “Raja Laut” kerana kemampuan mereka untuk menyelam lebih daripada empat minit tanpa peralatan selaman seperti tangki oksigen. Mereka boleh menyelam hingga kedalaman 36 meter untuk menangkap ikan atau udang.
Selain itu, mereka juga menggunakan puting beliung untuk menadah air minuman, dan mereka memiliki sunblock buatan sendiri yang diperbuat daripada beras dan rempah yang dikenali sebagai Berrak untuk melindungi kulit mereka daripada terik matahari.
Mencari Rezeki di Laut
Untuk mencari rezeki, masyarakat Bajau Laut sering kali mendayung perahu ke kawasan perairan batu karang untuk menangkap ikan dengan cara tradisional. Mereka juga menyelam untuk mendapatkan tripang atau gamat yang kemudian dijemur dan disalai untuk dijual di pekan dengan harga RM50 hingga RM80 per kilogram.
Namun, dengan perubahan zaman, kehidupan mereka semakin sukar. Dulu, mereka membanjiri kawasan darat untuk menjual hasil laut, tetapi kini ramai yang terpaksa mengemis untuk menyara hidup.
Masa Depan Kaum Bajau Laut
Walaupun hidup mereka sangat bergantung pada laut, arus pemodenan semakin mempengaruhi cara hidup mereka. Beberapa individu dari kaum Bajau Laut mula mencari kehidupan yang lebih baik, dengan bekerja sebagai buruh atau berniaga.
Pendidikan dianggap sebagai kunci untuk mengubah persepsi terhadap kaum Bajau Laut, seperti yang dijelaskan oleh Razil Jesferman, seorang anak Bajau Laut yang kini merupakan graduan Sains Akuakultur dari Universiti Malaysia Sabah.
BACA: Lelaki cacat kekal, mata dikorek selepas menganggu wanita warga asing