Penduduk di Jalan Atas Paloh, Kota Bharu, Kelantan telah memasang satu papan besar bertulis
‘selamat datang kerajaan Kelantan yang zalim’ sebagai tindak balas kepada perobohan rumah mereka.
Menurut rakaman video yang dikongsi dalam Facebook oleh Persatuan Penduduk Jalan Atas Paloh
Hadapan Masjid Muhammadi, beberapa rumah penduduk telah dirobohkan oleh pihak berkuasa.
Tanah tempat rumah-rumah itu dibina adalah milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).
Penduduk mendakwa bahawa kerajaan negeri tidak menunaikan janji untuk menggantikan rumah mereka dengan yang baharu.
Sebelum ini, Kerajaan Kelantan melalui anak syarikatnya, PKINK, bersetuju memberikan insentif sebanyak RM1,000 kepada ketua keluarga yang bersetuju untuk berpindah. RM500 akan dibayar sebelum berpindah dan baki RM500 selepas berpindah.
Walaupun tanah tempat mereka membina rumah selama 80 tahun adalah milik kerajaan negeri, penduduk hanya dijanjikan bayaran pampasan sebanyak RM1,000 setiap keluarga untuk membina lebih 400 unit kondominium bertingkat.
Rakaman tersebut juga menunjukkan beberapa poster yang dilekatkan pada dinding rumah yang dirobohkan, antaranya bertulis ‘bagi penduduk RM500 sekali bayar, YB naik gaji RM5,000 satu bulan’.
Penduduk berkumpul sambil melihat jentolak merobohkan rumah-rumah mereka, sambil melafazkan azan sepanjang proses perobohan dilakukan.
Akhir sekali, runtuhan rumah itu telah dibakar.
“Perobohan rumah rakyat di Jalan Atas Paloh, Kota Bharu. Mereka dihalau atas alasan duduk atas tanah kerajaan sedangkan kerajaan berjanji untuk menggantikan rumah-rumah baru.
Rumah tidak diberi dan hanya diberi RM500 sebelum keluar dan RM500 selepas keluar. Ini tidak adil bukan? Kerana ia dilakukan oleh PAS,” kata aktivis politik Wan Mahussin Wan Zain.