Tujuh individu, termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun, maut dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, malam tadi.
Setakat ini, seramai 33 mangsa turut dilaporkan cedera dalam kejadian tragis itu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, memaklumkan bahawa kemalangan yang berlaku kira-kira jam 8.40 malam itu
Terlah melibatkan sebuah bas ekspres, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima, dan Perodua Bezza.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati lori dan bas yang masing-masing dipandu oleh lelaki berusia 31 dan 56 tahun sedang menuju ke arah selatan sebelum nahas berlaku.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, tayar hadapan sebelah kanan treler tercabut dan terjatuh di tengah lebuh raya.
“Sebuah bas yang melalui kawasan itu terlanggar tayar tersebut, menyebabkan pemandunya gagal mengawal kenderaan dan terbabas ke lorong bertentangan,” katanya.
Bas tersebut kemudian bertembung dengan sebuah Perodua Bezza, menyebabkan kereta itu terbabas ke lorong kiri dan melanggar penghadang jalan. Selepas itu, bas tersebut berlanggar pula dengan sebuah treler lain dan Toyota Estima yang membawa lapan sekeluarga.
Dalam kejadian itu, pemandu bas dan seorang penumpangnya, serta pemandu Toyota Estima bersama empat ahli keluarganya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Semua mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Kesemua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan ini telah ditahan dan akan dibawa ke PUSPAKOM untuk pemeriksaan lanjut. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Superintendan Ashari turut memaklumkan bahawa lima mangsa yang maut telah dikenal pasti:
Pemandu bas, Noorisnien Khamid, 56, dari Skudai, Johor.
Pemandu Toyota Estima, Khairul Ikhwan Mazupi.
Isteri Khairul, Fadzlenna Ramli, 32.
Anak bongsu pasangan itu, Muhammad Umar, dua tahun.
Bapa kepada Fadzlenna, Ramli Ab Wahab, 66.
Identiti seorang penumpang bas dan dua lagi penumpang Toyota Estima yang turut maut masih belum dikenal pasti.
Dua anak pasangan tersebut, Muhammad Uwais Al-Qarni, tujuh tahun, dan Nur Sofea Humaira, empat tahun, dilaporkan cedera dan kini dirawat di Zon Merah dan Zon Kuning Hospital Melaka.