Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengumumkan bahawa elaun RM8 sehari
untuk peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan dikekalkan dan mula berkuat kuasa pada bulan depan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menjelaskan bahawa isu kenaikan elaun tidak wajar dibincangkan pada masa ini kerana program tersebut masih belum bermula.
“Setakat ini, kita kekal dengan elaun RM8 sehari untuk peserta PLKN 3.0. Bila program sudah bermula,
Barulah kita akan menilai semula perkara ini,” katanya.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu pada sidang media selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek di bawah Program Kampung Angkat MADANI – MINDEF di Balai Raya Kampung Baru Pasak, hari ini.
Pada Khamis lalu, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Keselamatan membentangkan laporan mengenai PLKN 3.0, yang antara lainnya mencadangkan supaya kadar elaun peserta dinaikkan kepada RM50 sehari. Jawatankuasa tersebut berpendapat bahawa kadar RM8 sehari adalah tidak mencukupi dan terlalu rendah.
“Jawatankuasa mengesyorkan agar kerajaan mempertimbangkan kenaikan elaun memandangkan peningkatan kos sara hidup dan sebagai insentif untuk peserta menyertai program ini,” menurut laporan itu.
PLKN 3.0 dijadualkan bermula secara berperingkat pada 12 Januari depan dengan melibatkan kira-kira 500 peserta di dua kem tentera di Kuala Lumpur dan Pahang. Program ini akan diperluaskan ke 13 kem di seluruh negara dengan pelaksanaan penuh pada tahun 2026.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled, yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, menyatakan bahawa MINDEF yakin insiden buli dan provokasi antara peserta PLKN 3.0 dapat dielakkan.
Ini disebabkan oleh tempoh program yang tidak melebihi dua bulan dan ia dilaksanakan di kem tentera.
“PLKN 3.0 akan berlangsung selama 45 hari sahaja, dan berdasarkan itu, kami akan memastikan insiden buli dan provokasi tidak berlaku, terutamanya kerana program ini dijalankan di kem tentera,” katanya.
BACA: Shiha Zikir jadi juara ‘Famili Duo 4, akhirnya ini di luahkan selepas menang