Pepper X secara rasminya disahkan oleh Rekod Dunia Guinness sebagai lada cili terpedas di dunia dengan purata 2,693,000 Unit Haba Scoville (SHU).
Lada tersebut telah ditanam oleh Ed Currie, pengasas Puckerbutt Pepper Company (USA).
Sebelum ini, syarikat tersebut juga turut mencipta rekod bagi kategori sama bagi lada Carolina Reaper mereka dengan catatan 1.64 juta SHU.
Ed telah mendedahkan lada terbarunya itu dalam episod terbaru siri YouTube Hot Ones.
Skor Scoville Pepper X telah dikira oleh Universiti Winthrop di Carolina Selatan yang menjalankan ujian tersebut menggunakan spesimen dari empat tahun lalu.
Skala Scoville digunakan untuk mengukur kepedasan lada cili, ia berdasarkan kepekatan capsaicin yang merupakan komponen aktif cili.
Capsaicin kemudiannya akan menyebabkan sensasi terbakar apabila bersentuhan dengan tisu manusia.
Terdapat kepercayaan yang menyatakan bahawa biji lada adalah yang menjadikan lada itu pedas.
Walau bagaimanapun, ini tidak benar kerana capsaicin terkandung dalam plasenta, tisu yang terlekat pada biji lada.
Selain itu, bahagian luar Pepper X yang banyak lengkung dan kedut ini bermakna terdapat lebih banyak kawasan di dalam lada untuk pembesaran plasenta.
Ed menanam Pepper X di ladangnya sejak 10 tahun lalu dan mengembangkannya dengan kacukan daripada beberapa lada terpedas.
Kacukan itu bertujuan untuk meningkatkan kandungan capsaicin lada tersebut.
“Apabila kami mula lakukan kacukan, terdapat dua lada yang saya sangat menyukai untuk rasanya. Tetapi kedua-duanya tidak cukup panas untuk citarasa saya,” dedahnya dalam video First We Feast.
Mencipta jenis lada yang baharu memerlukan banyak kesabaran, dengan tumbuhan generasi pertama membawa banyak ciri lada tersebut.
Ia boleh mengambil masa beberapa tahun untuk ciri yang diingini muncul melalui pembiakan terpilih.
Dalam kes tertentu, ia boleh mengambil masa kira-kira 10 generasi untuk kacukan tersebut stabil dengan sifat yang diramal dan konsisten.
“Jika kita mendapat ciri-ciri yang diingini seperti indeks capsaicinoids yang dicari, maka kita akan meneruskan persilangan tersebut.
“Jika tidak berjaya, maka kita perlu bermula sekali lagi dan ia adalah proses yang memakan masa yang sangat panjang,” ceritanya lagi.
Kini rekod lada cili terpedas di dunia terbaru telah dimiliki oleh Pepper X selepas 10 tahun Carolina Reaper memegang rekod itu.
Untuk makluman, ukuran tahap kepedasan bagi lada jalapeno adalah hanya sekitar 3,000 hingga 8,000 SHU sahaja.
BACA: ‘Aku simpan foto seorang model atau pelakon. Kalau nak makan je, aku akan keluarkan gambar tu..’