Tidak dinafikan, ramai dalam kalangan kita gemar menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan untuk memudahkan urusan perjalanan.
Namun, kebelakangan ini timbul pelbagai isu berkaitan agen pelancongan yang tidak bertanggungjawab, termasuk perkhidmatan yang tidak memuaskan.
Oleh itu, semakin ramai memilih untuk merancang perjalanan sendiri (DIY) kerana bukan sahaja lebih menjimatkan,
Malah memberi kebebasan untuk menyesuaikan itinerari mengikut bajet dan cita rasa peribadi.
Berikut adalah beberapa tip berguna bagi anda yang ingin mencuba travel secara DIY, seperti yang dikongsikan oleh pelayar TikTok, @miyabell.
1. Pilih Destinasi dan Tetapkan Tarikh Perjalanan
Mulakan dengan menentukan destinasi pilihan anda. Contohnya, Bali sering menjadi pilihan kerana mesra bajet dan sesuai untuk pemula DIY.
Tempah tiket penerbangan semasa musim rendah dan elakkan musim cuti sekolah atau perayaan untuk mendapatkan harga lebih murah.
Pertimbangkan menempah tiket secara berasingan (sehala) kerana ia mungkin lebih menjimatkan berbanding pakej pulang-pergi.
Pilih tarikh dengan harga tiket terendah dan tentukan bilangan hari di destinasi tersebut.
Tempoh perjalanan yang lebih panjang memberikan fleksibiliti untuk merancang aktiviti.
2. Lakukan Kajian Tempat Menarik
Gunakan platform seperti TikTok, YouTube, Google, dan Google Maps untuk mencari maklumat tentang tarikan pelancongan di destinasi pilihan.
Di Google Maps, taip “attractions in (nama destinasi)” untuk melihat senarai lokasi menarik bersama ulasan pengunjung.
3. Pilih Pengangkutan yang Sesuai
Di Bali, motosikal adalah pilihan pengangkutan paling murah bagi pelancong solo atau berdua.
Pastikan motosikal disewa dalam keadaan baik, terutama jika perjalanan melibatkan jarak jauh (1-3 jam).
Bagi kumpulan 4-5 orang, menyewa supir (pemandu peribadi) mungkin lebih praktikal.
Aplikasi e-hailing seperti Grab atau Gojek juga sesuai untuk perjalanan pendek.
4. Susun Itinerari Mengikut Kawasan
Rancang jadual perjalanan dengan mengelompokkan lokasi tarikan mengikut kawasan berdekatan.
Gunakan Google Maps untuk melihat jarak antara lokasi dan menyusun itinerari secara sistematik bagi menjimatkan masa dan kos.
5. Pilihan Bagasi
Gunakan beg galas (backpack) untuk memudahkan pergerakan, terutama jika anda kerap berpindah lokasi.
Pilih pakaian yang tidak perlu digosok seperti baju dan tudung ironless untuk mengurangkan beban dan menjimatkan masa.
6. Berhati-hati Memilih Makanan
Periksa kebersihan restoran, termasuk lantai dan meja makan.
Baca ulasan pelanggan di platform seperti Google sebelum memilih tempat makan untuk memastikan makanan yang dihidangkan berkualiti dan selamat.
7. Keselamatan Semasa Travel DIY
Beritahu keluarga atau rakan rapat tentang lokasi penginapan dan jadual perjalanan anda.
Simpan salinan dokumen penting seperti pasport dan tiket penerbangan dalam cloud storage sebagai langkah berjaga-jaga.
Gunakan kad SIM tempatan atau internet roaming untuk kekal berhubung dan menggunakan peta digital.
Melancong secara DIY bukan sahaja menjimatkan kos tetapi juga menawarkan pengalaman yang lebih bebas dan memuaskan.
Dengan perancangan awal, penyusunan itinerari yang baik, dan langkah keselamatan yang sesuai, anda boleh menikmati percutian yang menyeronokkan.
Selamat melancong dan utamakan keselamatan dalam setiap langkah anda!
BACA: Jika sedar berlaku transaksi pelik, mangsa scam perlu buat 2 langkah penting ini