Ini 4 tempat dalam Malaysia diambil dari nama penjajah, no.4 tu asalnya istana jadi gereja

Oleh MOHD FAHMI MUSTAQIM

Sebelum Tunku Abdul Rahman melaungkan kemerdekaan, Malaysia merupakan negara yang dijajah oleh kuasa asing dari Portugis hingga ke Jepun.

Penjajahan ini telah meninggalkan banyak kesan kepada kita, terutama dalam sejarah kita.

Namun, kesan ini bukan hanya terhad kepada sejarah, malah juga merangkumi aspek geografi, di mana beberapa nama tempat di Malaysia diambil daripada nama penjajah.

Contohnya, Kota Kinabalu dinamakan sempena Gunung Kinabalu, tetapi nama asalnya adalah Jesselton, yang diambil dari nama Naib Pengerusi Syarikat Borneo Utara British (SBUB), Tuan Charles Jessel.

Selain itu, Pelabuhan Klang juga mempunyai nama asal iaitu Pelabuhan Swettenham, yang diambil dari nama Residen General Negeri-Negeri Melayu Bersekutu,

Ini 4 tempat dalam Malaysia diambil dari nama penjajah, no.4 tu asalnya istana jadi gereja

Sir Frank Swettenham. Sebenarnya, terdapat banyak lagi tempat di Malaysia yang diambil dari nama penjajah. Mari kita bongkarkan lima asal-usul nama tempat di Malaysia yang diambil sempena nama penjajah.

1.Teluk Intan: Nama asal yang ditukar untuk mengenang jasa Jeneral Archibald Anson

Teluk Intan merupakan pusat perdagangan penting bagi negeri Perak pada zaman dahulu. Terdapat pelabuhan yang berfungsi untuk membawa hasil utama iaitu bijih timah, kerana Teluk Intan dikelilingi oleh Sungai Bidor dan Sungai Perak.

Sebenarnya, nama asal Teluk Intan mempunyai dua cerita yang direkodkan dalam sejarah Malaysia. Menurut cerita pertama, nama ini diambil dari seorang janda bernama Mak Intan, yang merupakan saudagar dari Mandahiling, Sumatera. Pada awalnya, tempat ini dipanggil Pekan Mak Intan, dan penerokaan oleh Mak Intan menjadikan Teluk Intan sebagai penempatan orang Jawa, Rawa, Mandahiling, Minangkabau, Kampar, dan India-Bombay.

Ada juga yang menyatakan nama Teluk Intan diambil kerana pacak Intan di sanggulnya hilang di sungai. Oleh itu, kehilangan Intan itu acapkali disebut oleh penduduk dan lama-kelamaan nama tempat itu dipanggil Teluk Mak Intan.

Menurut cerita kedua pula, ia berkisar tentang seorang gadis Sumatera bernama Intan yang bapanya seorang penjual kain batik. Sewaktu Intan sedang mandi di tepi Sungai Perak, cincin yang dihadiahkan oleh ibunya hilang di sungai tersebut, lalu ramai pedagang menamakan tempat itu sebagai Teluk Mak Intan.

Pada tahun 1880, pusat pentadbiran Hilir Perak terletak di Durian Sebatang dan General Archibald Anson, bekas Leftenan Gabenor dari Greater London, England, dilantik sebagai Pegawai Daerah Hilir Perak. Beliau mendapati bahawa Teluk Mak Intan lebih sesuai dijadikan pusat pentadbiran Inggeris dan memindahkan pusat pentadbiran ke Teluk Mak Intan.

Beliau hanya bertugas selama dua tahun. Nama Teluk Mak Intan ditukar kepada Teluk Anson untuk mengenang jasa beliau dalam membangunkan tempat itu. Namun, pada 27 Disember 1981, Yang Dipertua Majlis Daerah Hilir Perak, Encik Abdul Samat Haji Sabri, menukarkan nama Teluk Anson kepada Teluk Intan melalui surat arahan, yang berkuat kuasa pada 1 Januari 1982.

2.Pulau Pinang: Dinamakan Prince of Wales sebagai penghormatan kepada pewaris takhta British

Sebut saja tentang Pulau Pinang, pasti terlintas dalam fikiran makanan seperti nasi kandar, rojak, pasemboq, dan roti canai, kerana Pulau Pinang merupakan syurga makanan di Malaysia. Penduduk di sini berkomunikasi dalam loghat utara dengan majoriti penduduk terdiri daripada bangsa Cina dan mamak.

Sebelum nama Pulau Pinang terkenal, penduduk di Seberang Perai memanggilnya Tanjong Penaga, sempena nama pokok penaga yang tumbuh di sekitar kawasan Fort Cornwallis. Pulau Pinang pada asalnya dikenali sebagai Pulau Ka Satu, yang diilhamkan oleh seorang pelayar bernama Ragam, kerana pulau ini terasing dan ditemui ketika beliau berulang-alik berdagang dari Lingga ke Kedah.

Selain itu, Pulau Pinang pernah ditukar nama kepada “Prince of Wales” sebagai penghormatan kepada pewaris takhta British. Pulau ini merupakan sebahagian daripada Kesultanan Melayu Kedah dan terkenal sebagai pelabuhan lanun. Pada tahun 1786, Francis Light menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat perdagangan Inggeris pertama di Timur Jauh setelah memujuk Sultan Kedah untuk menyerahkan Pulau Pinang kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) sebagai pertukaran untuk perlindungan ketenteraan dari tentera Siam dan Burma.

Pada 11 Ogos 1786, Kapten Francis Light dikenali sebagai pengasas Pulau Pinang. Namun, nama Prince of Wales tidak kekal lama kerana digunakan semasa penjajahan British sahaja, selepas itu ditukar kembali kepada Pulau Pinang.

3.Jalan Dang Wangi: Pernah ditukar namanya kepada Campbell Road, sempena nama penasihat British

Jalan Dang Wangi terletak di pusat bandar Kuala Lumpur, di utara Dataran Merdeka, bersempadan dengan Bukit Nanas dan Medan Tuanku, serta berada di antara Sungai Gombak dan Klang. Nama Dang Wangi berasal dari nama isteri Hang Jebat.

Jalan ini pada asalnya dinamakan sempena Douglas Campbell (1867-1918), penduduk Britain di Negeri Sembilan dan penasihat British pertama Johor semasa era penjajahan. Jalan tersebut ditukar kepada Campbell Road.

Nama Campbell juga digunakan pada emporium di Kuala Lumpur, iaitu Kompleks Campbell. Sebelum bangunan pencakar langit seperti KLCC dan Menara Kuala Lumpur wujud, Kompleks Campbell adalah bangunan komersil tertinggi Kuala Lumpur.

4.Bukit Melaka (Bukit St. Paul): Istana yang ditukar menjadi gereja selepas kedatangan Portugis

Jika ke Melaka, pasti anda akan pergi ke Kota A’ Famosa dan Bukit St. Paul yang merupakan istana yang ditukar menjadi gereja. Pada asalnya, gereja tersebut adalah Istana Melaka, tetapi selepas kedatangan Portugis, ia ditukar menjadi gereja yang menjadi markas bagi mubaligh Kristian.

Selepas Portugis kalah dalam peperangan menentang Belanda pada tahun 1641, Belanda mengambil alih gereja tersebut dan membangunkan kawasan Melaka dengan membina Bangunan Stadthuys, tempat tinggal Gabenor Belanda. Semasa British menjajah, gereja tersebut dijadikan gudang peluru.

Baru-baru ini, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) mencadangkan untuk menukarkan nama Bukit St. Paul kepada Bukit Melaka, tetapi cadangan ini ditolak oleh Persatuan Cina Malaysia (MCA) untuk mengekalkan identiti nama bukit tersebut.

BACA:Pendaki 7 jam tersepit celah batu rupanya cuba ambil handphone terjatuh