Hari Deepavali merupakan salah satu perayaan utama bagi masyarakat India beragama Hindu di seluruh dunia.
Perayaan ini juga dikenali sebagai “pesta cahaya,” yang melambangkan kemenangan cahaya mengatasi kegelapan,
kebaikan mengalahkan kejahatan, dan ilmu mengatasi kejahilan.
Menurut portal PBS, Deepavali disambut dengan pelbagai aktiviti, termasuk ritual agama oleh penganut Hindu.
Pada hari perayaan ini, masyarakat India biasanya menziarahi sanak saudara, mengadakan pertunjukan bunga api, bersembahyang di kuil atau rumah, serta mengadakan jamuan.
Perayaan ini turut dihiasi dengan lampu minyak dan ‘kolam’ atau ‘rangoli’, yang sering kita lihat di pusat beli-belah atau di rumah rakan-rakan yang menyambut Deepavali.
Deepavali biasanya diraikan mengikut kalendar Tamil pada hari ke-14 bulan Aipasi, yang jatuh antara bulan Oktober dan November.
Nama “Deepavali” berasal daripada bahasa Sanskrit, di mana “Depa” bermaksud pelita atau cahaya dan “Avali” bermaksud siri atau sebarisan. Apabila digabungkan, ia bermaksud “sebarisan cahaya,” yang menggambarkan suasana pesta cahaya ini. Perkataan “Diwali” pula berasal dari nama “Deepavali” itu sendiri.
Perbezaan antara Deepavali dan Diwali
Namun, ramai yang keliru dengan perbezaan istilah antara Deepavali dan Diwali. Baru-baru ini, penyampai radio Prem Shanker melalui TikTok @erasarawak, menjelaskan perbezaan ini. Beliau menyatakan bahawa nenek moyang masyarakat India di Malaysia kebanyakannya berasal dari Selatan India, di mana bahasa Tamil digunakan, dan perayaan ini disebut sebagai “Deepavali.” Di Utara India, istilah “Diwali” lebih biasa digunakan.
Walaupun secara umumnya perayaan ini adalah sama, terdapat perbezaan dalam istilah berdasarkan wilayah asal mereka di India. Di Malaysia, kerana majoriti masyarakat India berketurunan dari Selatan India dan berbahasa Tamil, istilah Deepavali lebih sering digunakan.
Video perkongsian tersebut telah mendapat tontonan sebanyak 212.5k setakat ini. Di ruangan komen, ramai yang berterima kasih atas penjelasan yang diberikan oleh Prem Shanker.
“Perbezaannya adalah antara bahasa Hindi dan Tamil,” kata seorang pengguna. “Penerangan yang jelas. Terima kasih kerana berkongsi. Sekarang baru faham,” tambah seorang lagi.
BACA: Pelancong dari UK ‘culture shock’ pertama kali tengok budaya lepak di Malaysia