Ingatkan cincau rupanya cicak! Sekeluarga nyaris berbuka minum air keladi cicak

Oleh MOHD FAHMI MUSTAQIM

“Ingatkan cincau, tapi rupa-rupanya cicak!” Demikian kata seorang wanita ketika berkongsi kisahnya mengenai air balang yang dibelinya dan didapati mengandungi bangkai seekor cicak.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Azie Aziz menceritakan bahawa air berperisa keladi itu dibeli oleh suaminya dari sebuah gerai tepi jalan.

Mereka sedang dalam perjalanan dari Klang setelah mengambil baju raya. Suaminya singgah membeli dua bungkus air keladi dengan harga RM5 setiap satu.

Ingatkan cincau rupanya cicak! Sekeluarga nyaris berbuka minum air keladi cicak

“Tiba-tiba nampak benda macam nak menggelongsor dari plastik. Saya ingatkan cincau tapi rupanya cicak, terus auto menjerit,” katanya.

Azie dan keluarganya terkejut apabila mendapati bangkai seekor cicak di dalam plastik air yang baru dibeli tersebut. Cicak tersebut didapati telah reput mungkin sebab terendam lama dalam air.

“Mujurlah saya tergerak hati nak tuang baki air keladi tu ke dalam cawan. Kalau tidak, memang agaknya kami minum air bangkai cicak,” ujarnya.

Azie tidak sempat mengunjungi semula gerai air berkenaan selepas insiden tersebut untuk membuat aduan kerana jarak yang jauh. Jadi, dia memilih untuk berkongsi kisah tersebut di media sosial sebagai peringatan kepada orang lain.

Sehingga kini, video yang dimuat naik oleh Azie di TikTok telah mendapat lebih daripada 1.2 juta tontonan. Banyak netizen turut meluahkan rasa kesal terhadap sikap peniaga makanan yang tidak menjaga kebersihan, serta memberi nasihat agar lebih berhati-hati.

BACA: Perdana Menteri buat hal! Tiba-tiba umum bantuan khas Aidilfitri RM500