Siapa sangka, di sebalik keperibadian yang dipuji dan mempamerkan akhlak yang baik, seorang imam mempunyai zaman gelap tersendiri.
Rupanya sebelum menjadi imam, dia pernah menjalani kehidupan yang diselubungi dosa selama bertahun-tahun!
Perkara ini didedahkan oleh penceramah bebas, Mohamed Hanafiah Abdul Malek, mengenai imam tersebut yang pernah ditimpa ujian besar.
“Dia serba boleh, jadi imam, boleh jadi bilal, dan boleh jadi orang yang baik. Besar ujian keimanan dia sebelum itu.
“Waktu mudanya pernah tinggal di Makkah, kemudian balik ke Malaysia pada 1997. Pinjam duit dengan bank untuk buat projek apartmen di Langkawi.
“Kuasa Allah, bisnes lingkup, berhutang, dan bankrap selama 14 tahun,” katanya yang lebih dikenali sebagai Ustaz Hanafi.
Menerusi satu perkongsian di Facebook, Ustaz Hanafi yang bertemu dengan imam tersebut ketika menyampaikan ceramah di sebuah surau memaklumkan lelaki itu berputus asa kerana dugaan yang menimpanya.
“Katanya, ‘Aku orang baik, jaga solat dan sedekah. Aku buat kerja tak ada rasuah tiba-tiba Kau bangkrapkan aku, Ya Allah!’
“Dia memberontak! Selama tujuh hingga lapan tahun dia tak nak solat. Buat dosa dia tak ada rasa apa-apa. Allah tarik hidayah tu, dia tak rasa apa pun,” ujarnya.
Bercerita lanjut, Ustaz Hanafi memberitahu lelaki itu berdepan kesukaran untuk melunaskan hutangnya yang banyak.
“Dia berjuang bayar hutang RM14 juta tu. Macam-macam dia buat. Berniaga kantin di universiti dan akhirnya buat insurans (ejen), tetap susah,” katanya.
Bagaimanapun, pada suatu hari, hati lelaki itu tergerak untuk mendekatkan diri dengan surau dan masjid.
Kongsi Ustaz Hanafi lagi, lelaki tersebut akhirnya mendapat semula hidayah Allah dan mula kembali solat, mengaji al-Quran serta kembali mengamalkan hidup beragama.
Dengan kuasa Tuhan, rezekinya melimpah ruah hingga ke hari ini.
“Umurnya sekarang 64 tahun. Allah tenangkan hatinya, selesaikan masalahnya. Sekarang dia bahagia, motor besar ada tujuh buah,” katanya yang ingin menjadikan pengalaman imam itu sebagai contoh kepada orang lain.
Mengenai salah satu daripada tiga kisah yang dikongsi melalui hantaran sama, Ustaz Hanafi turut mengambil inspirasi dari cerita imam tersebut, di samping mengajak dirinya dan semua supaya tidak mempunyai perasaan marah kepada Allah.
BACA: Tangkap ikan spesies ‘rare’, nelayan jadi jutawan sekelip mata lepas dijual RM1.16 juta!