Bagi sesetengah penduduk, banjir sudah menjadi “acara tahunan” yang perlu dihadapi dengan reda walaupun mendatangkan kerugian besar.
Situasi ini mendorong mereka untuk mencari jalan penyelesaian kreatif bagi menghalang air daripada memasuki kediaman.
Seperti yang dilakukan oleh pengguna TikTok @mfariswan, dia berkongsi teknik unik dengan menggunakan dua bahan mudah sahaja:
kepingan kayu atau papan dan tanah liat mainan kanak-kanak (plastisin) untuk mencipta ‘tembok air banjir’.
Langkah DIY Halang Air Banjir
Dalam videonya, @mfariswan menjelaskan langkah-langkah berikut:
1. Sediakan Kayu atau Papan:
– Letakkan kepingan kayu (plywood) secara melintang pada pintu atau laluan terbuka di rumah.
2. Gunakan Plastisin sebagai Penutup:
– Tampalkan plastisin pada celahan antara kayu dan lantai seperti menggunakan gam.
– Pastikan tiada ruang untuk air masuk. Uji dahulu, jika ada kebocoran, tambah plastisin sehingga benar-benar kedap.
3. Balut Kayu dengan Plastik (Jika Perlu):
– Jika kawasan rumah anda sering terdedah kepada air banjir yang lama surut (banjir termenung), balut kayu dengan plastik supaya tahan lebih lama dan tidak cepat reput.
Menurutnya, teknik ini bukan sahaja mudah tetapi berkesan. “Pastikan kayu tebal dan cukup tinggi. Kalau dilakukan dengan betul, insya-Allah air tidak akan masuk,” katanya.
Hasilnya Berkesan!
Dalam video tersebut, bahagian dalam rumah @mfariswan kekal kering meskipun halaman rumahnya sudah dinaiki air banjir sehingga paras betis.
Perkongsian kreatif ini berjaya menarik perhatian ramai, dengan lebih dua juta tontonan di TikTok dan ribuan komen memuji usaha dan idea inovatifnya.
Semoga teknik ini dapat menjadi panduan berguna untuk mereka yang terjejas akibat banjir.
BACA: Tular video mangsa banjir bawa bayi dalam besen mandian undang sebak netizen