Ibu tunggal kantoi reka cerita dipaksa jadi pelacur dalam ‘podcast’

Oleh DAHLIA MARZUKI

Seorang ibu tunggal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang, hari ini

akibat mereka cerita konon dirinya dipaksa menjadi pelacur oleh pihak sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau along di negeri itu.

Wanita berusia 26 tahun itu kemudian dikenakan denda sebanyak RM4,000 selepas mengaku bersalah

membuat kenyataan palsu menerusi satu rancangan audio siar atau ‘podcast’ di aplikasi TikTok pada Julai lalu.

Majistret Siti Nurul Suhaila Baharain turut memerintahkan tertuduh yang dikenali sebagai Wan Ainsyatul Mime Wan Yuszaidi itu

Ibu tunggal kantoi reka cerita dipaksa jadi pelacur dalam ‘podcast’

untuk dipenjarakan selama sembilan bulan sekiranya gagal membuat bayaran denda tersebut.

Pengakuan bersalah itu dibuat oleh Wan Ainsyatul Mime yang mengenakan jubah beserta niqab berwarna hitam itu selepas pertuduhan mengikut 505(b) Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya dihadapan majistret.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada dua orang anak yang berusia empat tahun dan 11 bulan itu didakwa dengan sengaja telah membuat kenyataan palsu melalui siaran langsung rancangan ‘heart 2 heart’ di aplikasi TikTok.

Pengakuan palsu yang dibuat oleh wanita itu disiarkan menerusi akaun TikTok milik BGTV dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepada orang awam, lapor Kosmo.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 26 Julai lalu, kira-kira jam 3.30 petang, di Pangsapuri Program Perumahan Rakyat (PPR), Ampang Jajar, Permatang Pauh, Seberang Perai, Pulau Pinang.

Berdasarkan fakta kes diakui oleh tertuduh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu, dia dengan sengaja memberi kenyataan palsu di TikTok menerusi panggilan telefon, dan laporan tersebut adalah tidak benar serta tidak pernah berlaku.

Terdahulu, tular satu rakaman di TikTok memaparkan pengakuan seorang wanita yang mendakwa dipaksa menjadi pelacur selepas bapanya gagal membayar hutang dengan sindiket pinjaman wang tidak berlesen.

Pengakuan tersebut dilakukan ketika wanita berkenaan menghubungi pihak pengendali program audio siar yang sedang mengupas mengenai isu sosial di dalam komuniti ketika bersiaran langsung di TikTok.

Menurut wanita itu, bapanya yang berhutang sebanyak RM20,000 itu memberikan alamat rumah di kampung kepada pihak sindiket selain menjadikan ibu serta adik beradiknya sebagai penjamin.

Dalam panggilan telefon tersebut, wanita berkenaan turut mendakwa bahawa dirinya dijadikan pelacur oleh sindiket along terbabit sejak Februari lalu tanpa dibayar gaji selain mengakui dirinya kini berada di Pulau Pinang.

Namun hasil semakan pihak polis mendapati kenyataan itu adalah palsu dan berniat hendak menyebabkan kegentaran awam malah wanita terbabit dikesan berada dalam keadaan selamat di sebuah rumah di Seberang Perai Utara (SPU) pada jam 10.50 malam, 30 September lalu.

Baca juga: 46 tahun tersadai, kereta buruk ini bernilai lebih RM4 juta!