Individu yang mengalami kesunyian sering menjadi mangsa penipuan cinta (love scam) di media sosial.
Golongan seperti ibu tunggal, pesara, dan wanita dewasa tanpa pasangan sering menjadi sasaran penjenayah ini.
Di platform X, seorang individu meluahkan kebimbangan selepas mendapati ibunya sedang menjalinkan hubungan cinta
Dengan seorang lelaki misteri yang tidak pernah ditemuinya.
“Mak saya sedang bercinta dengan seorang lelaki. Katanya dia seorang juruterbang, bekerja di luar negara.
Lelaki itu mengaku orang Malaysia, berusia awal 40-an. Mak saya yakin dia bukan scammer sebab pernah video call dengannya,” tulis individu tersebut.
Duit gaji dan emas tergadai
Namun, individu itu mula curiga apabila ibunya dilihat kerap menggadaikan barang kemas dan menghabiskan gaji tanpa alasan yang jelas.
“Sejak kenal lelaki itu, mak saya gadaikan emas dan habiskan duit gaji. Bila saya tanya, dia hanya diam dan beri alasan nak bayar itu ini,” tambahnya.
Individu tersebut turut meminta nasihat daripada netizen, bagaimana untuk memeriksa sama ada lelaki itu benar-benar seorang juruterbang.
Netizen: “Ini tanda-tanda love scam”
Di ruangan komen, rata-rata netizen mengesyaki ibunya sudah menjadi mangsa love scam.
“Banyak kes macam ini. Akaun palsu guna gambar baju juruterbang memang bersepah di Instagram. Kesian mak awak, mungkin dia tak terdedah dengan maklumat tentang penipuan dalam talian,” tulis seorang pengguna.
Ada juga yang memberi amaran kepada individu itu agar segera mengambil tindakan bagi melindungi ibunya.
“Pantau media sosial mak awak. Periksa perbualan Facebook atau Messenger. Kalau lelaki itu betul juruterbang, takkan mak awak pula yang habiskan duit. Segera sekat lelaki itu dan tukar kata laluan semua akaun,” nasihat netizen lain.
Kisah ini menjadi peringatan kepada masyarakat, terutama anak-anak, agar sentiasa memantau aktiviti media sosial ibu bapa mereka untuk mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian.
BACA: Doktor ini ajar cara selamat nak kaya masuk RM100 boleh dapat RM100,000