Selain berjaya merangkul pelbagai anugerah di Jepun, animasi hasil anak tempatan, Mechamato semakin diminati di negara tersebut.
Seorang pengguna X baru-baru ini mendedahkan bahawa ibu bapa di Jepun menyenaraikan siri terbitan Animonsta Studios tersebut
sebagai salah satu pilihan animasi yang menjadi pilihan dan selamat untuk ditonton oleh anak-anak mereka.
Berdasarkan beberapa tangkap layar yang dimuat naik, sebahagian ibu bapa mendedahkan mereka tidak khuatir sekiranya anak-anak menghayati siri animasi Mechamato yang disifatkan lebih selamat dan mesra kanak-kanak.
Dalam masa yang sama, tidak kurang juga peminat dewasa yang tidak sabar untuk menantikan musim ke-2 siri berkenaan yang bakal ditayangkan di Netflix tak lama lagi.
Selain itu, ada yang berpendapat animasi hasil buatan negara selain Jepun juga sudah sampai ke tahap yang lebih baik dan menurut seorang pengguna, anak mereka lebih selesa menonton animasi seperti Mechamato (Malaysia), Paw Patrol (Kanada) dan juga Ninjago (UK) berbanding siri animasi dari Jepun.
Ada juga pengguna maya yang mendakwa kartun keluaran Jepun rata-ratanya mempunyai unsur negatif atau lucah yang membuatkan ia tidak sesuai untuk menjadi tontonan oleh mereka yang berusia bawah 13 tahun.
Hal ini pastinya menjadi batu loncatan buat pencapaian animasi negara kerana sudah mempunyai peminat di negara Jepun yang mana cukup sinonim dengan dominasi industri animasi di peringkat global.
Difahamkan, siri Mechamato boleh ditonton menerusi platform Netflix dan baru sahaja ditambah dengan sambungan musim ke-2 dan lebih mengujakan, penerbit sendiri mengesahkan animasi tersebut memang mempunyai permintaan tinggi di Jepun.
baca: Didakwa jadi punca jerebu di Malaysia, akhirnya Indonesia bersuara beri penjelasan