“Ibu ayah suka menangkan abang biawak hidup, siap suruh aku belikan dia kereta!”

Oleh AHMAD SULAIMAN

Hati anak perempuan manakah tidak hancur apabila mak dan ayahnya bersikap pilih kasih serta memberi perhatian lebih kepada anak lelaki meskipun mereka sudah dewasa.

Lebih memburukkan keadaan, ibu bapa berkenaan sering ‘memenangkan’ lelaki yang merupakan biawak hidup itu tanpa memikirkan perasaan anak perempuan mereka.

Itulah situasi yang dialami oleh seorang wanita berstatus janda hingga membuatkan dirinya mengalami tekanan lalu tampil meluahkan kekecewaannya di media sosial.

Menerusi satu hantaran di platform X, wanita yang tidak mendedahkan identitinya itu mengakui memperoleh pendapatan bulanan lumayan hingga mencecah lima angka.

Wanita terbabit turut memanjatkan kesyukuran kerana dapat membeli kereta Honda jenis HR-V dan sebuah rumah daripada hasil titik peluhnya berkerja mencari rezeki.

"Ibu ayah suka menangkan abang biawak hidup, siap suruh aku belikan dia kereta!”

Niatnya berkongsi kegembiraan bersama keluarga bagaimanapun terbantut apabila ibu bapanya malah langsung tidak senang dengan kejayaan yang telah dicapainya.

“Aku seorang janda, ada anak seorang. Pendapatan aku lima angka setiap bulan. Minggu lepas aku baru keluarkan kereta baharu, jenis Honda HRV. Aku gembiralah kan.

“Lagipun kunci rumah juga nak dapat bulan depan. Tetapi mak ayah aku buat sedih pula. Sebab abang aku tiada semua harta yang aku miliki. Jadinya, ayah minta aku belikan kereta dekat abang.

“Pening aku, bukan tak nak belikan. Tetapi termasuk kereta lama aku, sudah tujuh biji kenderaan dia pakai. Dari bujang sampai beranak pinak. Abang tak reti jaga, hancur sampai total-loss,” katanya.

Jelas wanita terbabit, permintaan bapanya untuk membelikan sebuah kereta baharu buat kegunaan abangnya itu membuatkan dirinya tidak tenang dan merasa gelisah.

Akhirnya wanita berkenaan mengambil keputusan untuk membelikan juga kenderaan berkenaan berikutan merasa bersalah terhadap nasib yang menimpa abangnya itu.

“Semua kereta lama itu sudah tiada nilai, sedih aku tengok. Sebaik mereka minta aku beli, sampai tak boleh tidur sebab pening memikirkannya. Macam berdosa sahaja sebab nak gembira, tetapi nasib abang tak baik.

“Dia tiada kerja, pendapatan kadang-kadang sahaja ada. Kalau beli kereta tetapi dia tak jaga, aku juga kena nanti. Tetapi kalau tak beli, mak ayah duduk buat muka sedih macam itu.

“Akhirnya aku beli juga. Semoga kali ini, abang aku jagalah elok-elok. Selepas aku sudah pindah rumah nanti, sudah tak nak fikir (tentang mereka). Aku tertekan!.” Ujar wanita berkenaan dalam perkongsian itu.

Baca juga : ‘Mahal baju tu, RM50 punya sudahlah!’ Isteri tebalkan muka malu bila suami sound depan orang ramai