Hutang kerajaan naik 8.6 peratus, Menteri Kewangan tampil beri penjelasan jawab kekeliruan

Oleh AHMAD SULAIMAN

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata melalui konsolidasi fiskal yang ketat dan berperingkat,

kerajaan berjaya mengekang peningkatan jumlah pinjaman bersih dan mengurangkan pertumbuhan hutang.

Beliau menyatakan bahawa jumlah pinjaman Kerajaan Persekutuan pada tahun 2023 menurun kepada RM226.595 bilion berbanding RM230.949 bilion pada tahun 2022.

“Defisit fiskal berjaya dikurangkan secara konsisten. Jumlah pinjaman bersih dijangka terus berkurang daripada RM99.4 bilion

pada 2022 kepada RM92.5 bilion pada 2023, dan trend ini dijangka menurun lagi sekitar RM86 bilion pada 2024,” katanya

Hutang kerajaan naik 8.6 peratus, Menteri Kewangan tampil beri penjelasan jawab kekeliruan

dalam teks ucapan penggulungan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2024 mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2023 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Teks tersebut dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, kerana Amir Hamzah tidak dapat membuat ucapan penggulungan disebabkan mengalami laringitis.

Amir Hamzah juga menjelaskan bahawa daripada RM241.509 bilion yang disebut dalam LKAN 3/2024, sebanyak RM8.776 bilion merupakan premium bersih yang dilaraskan kepada Akaun Penyelesaian Premium/Diskaun Sekuriti Kerajaan.

Selain itu, RM6.138 bilion adalah transaksi ‘switch auction’, iaitu kaedah yang digunakan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai strategi pengurusan hutang untuk mengurangkan risiko pembiayaan semula.

“Kaedah ini tidak akan meningkatkan jumlah pinjaman secara keseluruhan kerana ia hanya melibatkan pertukaran kertas hutang dengan amaun prinsipal yang sama antara kerajaan dan pemain pasaran,” katanya.

Beliau turut mengulas mengenai komitmen kewangan kerajaan yang meningkat sebanyak RM0.139 bilion kepada RM285.634 bilion, serta komitmen jaminan yang bertambah RM3.288 bilion kepada RM227.404 bilion berbanding tahun 2022.

Komitmen jaminan ini merangkumi hutang syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun yang melaksanakan projek infrastruktur sosial, seperti pengangkutan awam.

Ini termasuk terbitan pinjaman baharu oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), DanaInfra Nasional Bhd, dan Prasarana Malaysia Bhd, serta menyokong sukuk Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang mempunyai kupon sifar, di mana keuntungan akan dibayar pada akhir tempoh matang.

“Peningkatan komitmen jaminan ini adalah untuk menyokong projek infrastruktur pengangkutan seperti MRT, LRT3, Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, dan ECRL, selain menampung kos operasi Prasarana bagi meningkatkan sistem pengangkutan negara,” tambahnya.

Amir Hamzah berkata, kerajaan juga memastikan Liabiliti Persekutuan terkawal dengan menetapkan had nilai kuantiti mengikut Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 [Akta 850].

Selain itu, kerajaan memastikan kadar pembiayaan dana oleh Pertubuhan Perbadanan yang dijamin adalah pada kadar rendah, membatalkan fasiliti jaminan yang belum digunakan, dan memastikan Pertubuhan Perbadanan yang dijamin mampu membayar balik pinjaman tanpa membebankan kerajaan.

Beliau turut menekankan komitmen kerajaan untuk mengurangkan nisbah hutang kepada KDNK di bawah 60 peratus secara beransur-ansur dalam jangka masa sederhana seperti yang ditetapkan dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA).

BACA: Berbulan tanam periuk api, Korea utara nekad letupkan infrastruktur sempadan Korea selatan