Hutan Simpan Belara bakal diancam pembalakan, mana suara Menteri MEWA?

Hutan Simpan Belara bakal diancam pembalakan, mana suara Menteri MEWA?

Sekali lagi isu kontroversi pembalakan dikaitkan dengan skandal rasuah dan penggubalan wang haram bertaraf antarabangsa telah timbul.

Nampaknya isu tuduhan rasuah Musa Aman membabitkan pembalakan akan dilenyapkan begitu sahaja dengan penarikan balik kes oleh Peguam Negara.

Nampaknya juga kes pembalakan membabitkan beratus juta ringgit dikaitkan dengan mereka yang berkuasa dalam politik, secara besar besaran, tidak boleh dipisahkan.

Dua minggu lepas saya menyuarakan kes Menteri Besar Kedah dari PAS yang ingin membuka semula pembalakan kawasan sensitif hutan simpan Ulu Muda yang mengancam bekalan air Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Malangnya Menteri Alam Sekitar dan Air,YB Tuan Ibrahim bukan sahaja tidak mengulas isu tersebut, tetapi beliau mengumumkan projek air RM600 juta untuk cuba menutup isu kontroversi asal tersebut.

Beberapa hari lepas isu hutan simpan Belara, Terengganu, ditimbulkan oleh Pensyarah dan aktivis alam sekitar. Pembatalan penwartaan gazet tanah tersebut serta lesen pembalakan hutan simpan Belara ini di percayai telah di keluarkan dengan senyap senyap oleh kerajaan.

Laporan oleh Persatuan Pencinta Alam Malaysia Cawangan Terengganu pada 5 Jun 2020 menyoal mengapa Kerajaan Terengganu membatalkan gazet 4,588 hektar hutan simpan ikonik Belara yang begitu penting untuk alam sekitar Terengganu. Menteri Besar Terengganu tidak memberi jawapan tentang isu ini.

Dahulu saya menyebut masalah alam sekitar Kedah dan juga Kelantan, yang lama mempunyai masalah alam sekitar dan bekalan air. Ada pihak yang menegur saya seolah olah ia isu tidak penting.

Terengganu merupakan negeri ketiga selepas Kedah dan Kelantan yang mempunyai majoriti sekitar 95 peratus penduduk Melayu Islam yang menghadapi masalah alam sekitar dan air.

Kalau kerajaan yang mendakwa diri nya kerajaan Melayu Islam tidak membela nasib Melayu Islam di 3 negeri yang diantara termiskin di Malaysia, di manakah letaknya prioriti mereka?

Ramai Melayu Islam di 3 negeri ini terdiri dari petani, pekebun dan nelayan miskin yang memerlukan penjagaan alam sekitar yang baik dan rapi. Hutan simpan negara sepatutnya di kekalkan di tahap 50 peratus kawasan tetapi kini telah jatuh ke tahap sekitar 40 peratus.

Kalau tanah rezab Melayu yang patut di tahap 50 peratus juga kini hanya tinggal 13 peratus, kita patut amat bimbang akan tahap kerakusan kerajaan membuka hutan simpan untuk pembalakan oleh taukeh-taukeh balak kaya. Perniagaan tanah balak yang tidak terkawal mengancam kita semua.

Yang paling terkesan adalah golongan termiskin di kampong dan desa yang bercucuk tanam golongan petani yang amat perlu pembelaan.

Ianya bukan melibatkan hanya isu hakisan dan pemukaan alam sekitar yang rosak dan berlaku banjir besar, tetapi juga tentang ancaman hidupan liar yang keluar dari habitat hutan asal mereka mengancam keselamatan dan hasil cucuk tanam petani dan pekebun yang daif.

Laporan akhbar tempatan kini sering melaporkan pencerobohan kampung, kebun serta dusun orang kampung oleh hidupan liar yang mengganas apabila hutan tempat asal mereka terlalu banyak di musnahkan oleh aktiviti pembalakan.

Di Terengganu sahaja kebelakangan ini makin banyak terdapat harimau berkeliaran dekat kampong kampong di Dungun, beruang hitam berat 70 kg di kawasan FELDA, gajah liar di Hulu Terengganu merosakan kebun dan tanaman serta pelbagai lagi hidupan liar yang menjejas pendapatan peneroka, pekebun dan orang kampung..

Banjir yang lebih buruk menjadi jadi kebelakangan ini. Hakisan pemukaan bumi juga bolih menyebabkan ekosistem tanah yang tidak begitu subur menyukarkan hidup orang kampung. Malangnya ini berlaku di negeri penduduk miskin majoriti Melayu Islam Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Menteri Alam Sekitar dan Air perlu mengambil berat isu semasa dan jangan meremehkan rintihan orang kampung. Islam menekankan perlunya kita memelihara keharmonian alam sekitar bumi Allah ini.

Makin ramai pensyarah-ahli akademik Universiti terkemuka Malaysia, aktivis dan NGO bersuara isu serius pembalakan berlesen dan juga yang haram.

Dalam masa Malaysia ingin bergerak ke arah menjadikan pertanian sektor utama yang penting, amat perlu kita menjaga ekosistem yang sihat dan baik. Lebih ramai anak muda kini ingin mencebur bidang pertanian hari ini.

Ramai ahli akademik dan orang ramai menggesa Menteri Besar Terengganu mewartakan kembali hutan simpan Belara sebagai Hutan Simpan seperti asal. Kawasan Belara tersebut terletak berhampiran kampus Universiti Malaysia Terengganu dan juga Universiti Sultan Zainal Abidin di mana ramai para akademik serta bijak pandai bergiat.

Sia sialah usaha pandangan dan penyelidikan mereka jika kerajaan Terengganu tidak bertindak demi masa depan Negara dan bangsa. Isu ini telah di bangkitkan secara terperinci dalam Laporan Audit Kerajaan Persekutuan dan demi warisan negeri dan negara hutan simpan Belara yang ikonik ini perlu diselamatkan.

Kami juga menggesa sekali lagi Menteri Alam Sekitar dan Air, YB Tuan Ibrahim Tuan Man agar bertindak segera kerana jika beliau terus membisu, gelaplah masa depan rakyat miskin di tiga negeri Melayu Islam yang tidak terbela ini.

KELESTARIAN ALAM TANGGUNGJAWAB BERSAMA

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH
Pengerusi Biro Alam Sekitar
Parti Amanah Negara (AMANAH)

Sumber :

COMMENTS