Hubungan tegang Pas Bersatu, punca 2 Adun Bersatu dipecat dari jawatan Exco

Oleh INFORAKYAT

Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Perlis sekali lagi melalui rombakan

Apabila dua Exco digugurkan, sementara tiga muka baharu dilantik untuk penggal baharu.

Exco Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan, Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Wilayah Ekonomi Baharu, Pemerkasaan Usahawan dan Ekonomi Kreatif Negeri Perlis,

Wan Zikri Afthar Ishak, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambun Tulang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis, digugurkan meskipun baru setahun memegang jawatan tersebut.

Turut digugurkan ialah Exco Kesihatan, Kebajikan dan Pengurusan Bencana, Sains, Teknologi, Inovasi dan Teknologi Hijau, Alam Sekitar dan Perpaduan Negeri Perlis, Megat Hashirat Hassan, yang merupakan Adun Pauh.

Hubungan tegang Pas Bersatu, punca 2 Adun Bersatu dipecat dari jawatan Exco

Tiga Adun baharu yang dilantik sebagai Exco ialah Adun Guar Sanji dari PAS, Mohd Ridzuan Hashim, serta dua wakil Bersatu, iaitu Adun Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah, dan Adun Sena, Datin Marzita Mansor.

Selain itu, terdapat perubahan portfolio dalam kalangan Exco yang kekal memegang jawatan.

Pada Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis bagi penggal baharu di Istana Arau, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menitahkan supaya Exco yang dilantik menggandakan usaha untuk mempercepatkan pembangunan negeri, yang dianggap agak perlahan berbanding negeri lain.

“Exco yang ada pada waktu ini perlu bekerja lebih keras dalam membawa pembangunan negeri yang dilihat agak perlahan berbanding negeri lain. Ini tidak wajar kerana Perlis adalah sebuah negeri kecil, maka Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri perlu berusaha membawa kemajuan untuk kesejahteraan rakyat,” titah baginda.

Majlis tersebut turut dihadiri Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli; dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail.