HSR : Kita terpaksa bayar pampasan kepada Singapura kerana sikap kerajaan PN – Najib

HSR : Kita terpaksa bayar pampasan kepada Singapura kerana sikap kerajaan PN – Najib

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mahukan kemampuan memilih secara langsung vendor untuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) tanpa sebarang penglibatan Singapura, dakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Isnin.

Kata beliau perkara itu bercanggah dengan visi asal projek berkenaan iaitu kedua-dua negara bertanggungjawab terhadap pembinaan landasan kereta api berkenaan bagi mencegah kemungkinan penyalahgunaan atau penyelewengan.

Menerusi muat naik di laman Facebook, Najib memetik kenyataan Menteri Pengangkutan Singapura Ong Ye Kung yang telah mencadangkan agar syarikat-syarikat aset disingkirkan seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua buah negara.

“Pendekatan kerajaan PN agak berbeza. Mereka mahu pilih kontraktor dan vendor projek secara terus tanpa campur tangan negara Singapura.

“Kerajaan Singapura juga tidak bersetuju dengan permintaan kerajaan PN untuk tren HSR berakhir di KLIA.

“Di sana penumpang akan tukar ke tren ERL milik syarikat YTL yang lajunya separuh dari kelajuan tren SHR untuk sambung perjalanan ke ibu kota.

“Saya rasa keputusan ini adalah sangat pelik sebab pengunjung dari Singapura mahu perjalanan terus ke bandar Kuala Lumpur dalam masa tersingkat – bukan mahu berkunjung ke KLIA lalu tukar ke tren yang lebih perlahan.
“Jika pengunjung dari Singapura mahu pergi ke lapangan terbang untuk menaiki kapal terbang, mereka akan pergi ke lapangan terbang di negara mereka.

“Buat apa mereka nak naik tren HSR untuk ke KLIA?,” soal beliau menerusi muat naik di laman Facebook miliknya.

Selain itu, Najib juga berkata bahawa sebab lain Singapura menghentikan projek itu kerana tidak bersetuju dengan dua permintaan kerajaan PN, dan ia bukannya disebabkan COVID-19.

Ini sekali gus menyebabkan Malaysia kini harus membayar pampasan sebanyak RM1 bilion kepada Singapura, katanya.

“Lalu, kerajaan PN buat keputusan untuk lanjutkan tren ERL ke Johor Bahru sebagai projek HSR KL-Johor Bahru medium laju dengan kos hampir sama projek HSR KL-Singapura yang dibatalkan mereka.
“Oleh sebab syarikat operasi (ERL) akan rugi memanjang akibat jumlah pendapatan dan penumpang yang akan jauh menurun jika tidak sampai ke Singapura, kerajaan PN juga bersetuju membayar pampasan setiap tahun kepada syarikat ERL.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata projek HSR dibatalkan akibat pergelutan ekonomi negara, selain pandemik COVID-19.

Jelas Mustapa, keadaan tersebut memaksa kerajaan membuat pertimbangan semula terhadap projek berkenaan.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kerajaan-pn-mahu-pilih-vendor-projek-hsr-secara-langsung-tanpa-penglibatan-singapura-najib-276091