HOC: Rumah bawah RM300,000 untuk golongan B40 dan M40

download - 2019-09-23T233234.626
Kempen ‘Pemilikan Rumah Mampu Milik (HOC): Affordable Homes’ yang memberi fokus kepada penjualan rumah bernilai bawah RM300,000 khusus bagi golongan B40 dan M40, merupakan antara inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam menawarkan peluang kepada mereka untuk membeli rumah, bagi yang belum memilikinya.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata beberapa pihak daripada institusi kewangan juga akan terlibat dengan kempen itu bagi membantu menguruskan permohonan pembiayaan pinjaman, iaitu suatu perkara yang sering menjadi masalah kepada mereka yang berhasrat membeli rumah.

“KPKT sedang berusaha mencari jalan bagaimana (cara) bagi membolehkan golongan B40 dan M40 ini mendapat laluan yang mudah, supaya dapat dipertimbangkan bank untuk membiayai pinjaman perumahan mereka.

“Semua sudah maklum bahawa isunya sekarang adalah berkaitan kemudahan mereka mendapatkan pinjaman dari bank,” katanya ketika berucap di majlis Pra-Pelancaran HOC: Affordable Homes di KL Sentral hari ini.

Penganjuran HOC selama tiga hari yang dijadualan bermula pada 4 Oktober di NU Sentral, Kuala Lumpur itu juga disasar untuk menjadi satu platform bagi memperkukuh, dan menyelaras pelaksanaan strategi serta pelan tindakan dalam menangani isu kebolehcapaian pemilikan rumah.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung sasaran KPKT untuk jualan unit rumah dalam kempen tiga hari itu, Zuraida berkata beliau yakin 80 peratus akan terjual daripada keseluruhan kediaman bernilai RM2 bilion yang ditawarkan pada kempen itu nanti.

“Sekitar 10,500 (unit rumah) kita akan pamerkan (pada kempen itu). Sasaran, saya kira kita boleh capai sekurang-kurangnya 80 peratus,” katanya.

Beliau berkata 42 petak ruang pameran terlibat dalam kempen itu yang meliputi pavillion agensi kerajaan, pemaju perumahan swasta dan institusi kewangan serta khidmat nasihat.

BERNAMA