Hidup mewah melebihi kemampuan, KPN tidak akan berkompromi dengan anggota terbabit salah laku jenayah

Oleh CHE HUSNA KAMARUZZAMAN

Ketua Polis Negara mahu penyeliaan secara pemantauan rapat dilaksanakan dengan lebih berkesan

Terhadap pegawai dan anggota polis yang dikesan memiliki gaya hidup mewah melebihi kemampuan mereka.

Beliau juga menggesa agar ujian saringan awal urin dilakukan secara berkala bagi memastikan semua anggota polis bebas daripada dadah.

Menurutnya, langkah ini perlu diambil susulan trend pembabitan pegawai dan anggota polis dalam salah laku jenayah, dadah, dan disiplin yang dilihat semakin meruncing.

“Saya tidak akan berkompromi dengan pegawai dan anggota yang terlibat dalam salah laku sehingga memberi imej buruk kepada pasukan.

Hidup mewah melebihi kemampuan, KPN tidak akan berkompromi dengan anggota terbabit salah laku jenayah

“Paling mengecewakan kini, pegawai polis bukan sahaja gagal dalam penyeliaan, malah ada yang turut terlibat dalam kes jenayah, seperti kes terkini di mana seorang Asisten Superintendan bersama enam pegawai rendah polis ditahan kerana melakukan pemerasan dan cabul ke atas seorang wanita ketika siasatan kes narkotik.

“Jadi, semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus mengambil iktibar dan peringatan daripada apa yang berlaku ini,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara bagi bulan Oktober 2024, anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Bukit Aman hari ini.

Razarudin menekankan bahawa kepimpinan pada semua peringkat perlu memastikan aspek penyeliaan membabitkan semua pegawai polis di bawah seliaan masing-masing dilaksanakan dan dipantau.

“Tindakan sewajarnya harus diambil terhadap mana-mana pegawai polis yang didapati melanggar peraturan dan disiplin yang ditetapkan.

“Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) juga akan lebih proaktif dalam mengambil tindakan untuk mengesan salah laku pegawai polis.

“Tindakan tegas harus diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada sekiranya mereka terlibat dalam gejala rasuah, penyalahgunaan dadah, atau lain-lain kesalahan berkaitan.

“Kepincangan yang berlaku tidak harus dipandang remeh, malah perlu dijadikan iktibar dan dipastikan tidak berulang lagi.

“Arahan dan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa perlu diamati, dilaksanakan dengan berkesan dan sentiasa diperingatkan kepada semua,” katanya.

BACA: UKM tampil beri penjelasan isu memo tular larang ahli akademik buat kenyataan umum