Hati wanita ini bagai dirobek melihat kebaikan suami, terpaksa pura-pura

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Demi ketenteraman rumah tangga yang dibina bersama suami, seorang wanita rela berkorban dengan pura-pura bahagia sedangkan batinnya sangat menderita.

Rupa-rupanya, wanita yang dikenali sebagai Hanis itu masih tidak dapat melupakan pengkhianatan dilakukan suaminya walaupun telah lama memaafkan lelaki tersebut.

Hati Hanis masih terluka malah semakin sakit seolah-olah dikoyakkan berulang kali setiap kali melihat kebaikan yang dipamerkan bapa kepada dua orang anaknya itu.

Segalanya bermula apabila Hanis menerima satu panggilan telefon memaklumkan perlakuan suaminya dari seorang rakan yang sekelip mata mengubah kehidupannya.

“Aku seorang isteri dan ibu kepada sepasang anak-anak comel. Mereka berumur 12 dan sembilan tahun.

Hati wanita ini bagai dirobek melihat kebaikan suami, terpaksa pura-pura

Aku seorang isteri taat yang sentiasa mendahulukan keluarga melebihi diri sendiri. Kisah ini berlaku beberapa tahun lalu.

“Ketika sedang bekerja untuk membantu meringankan beban suami dalam mencari nafkah, aku dapat panggilan dari kenalan. Dia ternampak suami aku mendaftar masuk di sebuah hotel bersama seorang wanita.

“Pada mulanya aku tidak percaya. Tetapi selepas beberapa keping gambar dihantar melalui Whatsapp, terbukti suami yang aku hormat dan sanjung rupanya curang di belakang,” katanya.

Selepas kejadian itu, suami Hanis akhirnya membuat pengakuan bahawa hubungan sulit bersama wanita terbabit sebenarnya sudah lama terjalin iaitu sekitar dua tahun.

Hanis yang tidak sanggup dimadukan itu lantas membuat keputusan untuk bercerai namun suaminya malah bertindak merayu dan berjanji akan melupakan kekasihnya.

“Hati aku benar-benar hancur. Dunia aku gelap. Aku tidak sanggup untuk diduakan dan meminta suami untuk melepaskan aku. Tetapi dia merayu untuk aku memaafkan segala kesalahannya dan berjanji untuk meninggalkan wanita tersebut.

“Macam-macam dia lakukan untuk meraih kemaafan aku. Mula ambil berat tentang aku dan anak-anak, sering solat berjemaah bersama dan meluangkan masa dengan keluarga di hujung minggu.

“Kadang-kadang dia akan tempah tarikh untuk kami pergi ke kuliah agama bersama. Aku cuba untuk memaafkan dia. Tetapi setiap kali melihat wajah suami, aku tidak dapat melupakan pengkhianatannya yang lalu.

Walau bersetuju untuk tetap hidup bersama demi anak tersayang, pengkhianatan dilakukan suami masih segar diingatan Hanis meskipun sudah bertahun ia berlalu.

Hanis juga merasa sangat khuatir sekiranya dirinya berdosa akibat kesilapan suami itu kerana ‘menipu’ dengan berpura-pura bahagia di hadapan keluarga hingga kini.

“Aku berpura-pura senyum gembira. Tetapi sebenarnya hati ini sangat sakit. Setiap perlakuan baik yang suami lakukan terhadap aku, pasti akan mengingatkan tentang kebaikan yang dia lakukan kepada bekas teman wanitanya.

“Masih sakit walaupun pengkhianatan dia itu sudah bertahun-tahun berlalu. Adakah aku berdosa aku jika berpura pura bahagia tetapi sebenarnya sangat menderita?.” Kongsi Hanis (bukan nama sebenar) menerusi sebuah forum atas talian.

Baca juga: Tak cukup menang 4 negeri, Ulama Pas seru langgar negeri UMNO?