Pelakon Harissa Adlynn dianggap sebagai seorang yang matang dan bijak membawa diri dalam industri hiburan.
Sentiasa menjaga batasan, Harissa atau nama sebenarnya Harissa Adlynn Abdul Halim, memilih untuk tidak terlibat dengan sebarang gosip atau cerita sensasi.
Menurut Harissa, beliau sentiasa berhati-hati dalam membuat keputusan, mengambil pengajaran daripada kontroversi yang menimpa rakan selebriti.
“Bila lihat rakan selebriti terpalit dengan kontroversi, ia mengingatkan saya untuk lebih berhati-hati,” katanya.
Harissa menegaskan, beliau mahu mengekalkan imej bersih sepanjang berkecimpung dalam dunia hiburan.
“Saya masuk ke dalam industri ini kerana minat terhadap lakonan. Jika niat hanya untuk terkenal, bagi saya itu tidak betul. S
aya tidak mahu melakukan perkara yang boleh memburukkan nama atau mensensasikan diri,” ujarnya kepada mStar.
Harissa berkongsi pandangan ini semasa sidang media drama Benci Jadi Cinta yang diadakan di Petaling Jaya, Selangor.
Status Hubungan
Berkongsi mengenai kehidupan peribadi, Harissa memaklumkan dirinya masih solo dan belum menemui jejaka yang sesuai dijadikan pasangan. Walaupun terbuka untuk bercinta, pelakon itu menetapkan syarat bahawa hubungan tersebut perlu mendapat restu ibu bapanya terlebih dahulu.
“Setakat ini belum ada (teman lelaki). Kalau ada pun, dia perlu bertemu ibu saya dahulu. Jika dia mengajak saya keluar, ibu saya pasti akan ikut sama. Persetujuan ibu bapa sangat penting,” katanya.
Harissa juga mengakui bahawa beliau bergantung kepada ibunya sebagai pendinding untuk mengelakkan daripada bertemu dengan lelaki yang salah.
“Ibu saya akan tapis dengan siapa saya berkawan, sebab saya sendiri tak pandai menilai orang sekeliling.
Saya mudah berfikiran positif, walaupun ada orang berniat jahat. Jadi, saya akui saya agak naif,” tambahnya.
Kerjaya Terkini
Dalam perkembangan lain, Harissa membintangi drama bersiri vertikal Benci Jadi Cinta, yang mula disiarkan di laman TikTok Drama Sangat sejak 9 Disember lalu.
Drama tersebut turut menampilkan pelakon baharu seperti Syahmie Thsaqeef dan Zhen Ning.
Drama ini menjadi satu lagi platform untuk Harissa menonjolkan bakat lakonannya, sejajar dengan matlamatnya untuk terus berkembang dalam industri tanpa mencemarkan imej.
BACA: Jika sedar berlaku transaksi pelik, mangsa scam perlu buat 2 langkah penting ini