Harissa Adlynn Abdul Halim, 21, mengakui pernah didekati ramai lelaki termasuk aktor senior,
Malah ada antara mereka berstatus suami orang dan sudah mempunyai cucu.
Menurut Harissa, meskipun berdepan pelbagai godaan, dia tetap dengan pendiriannya untuk tidak melayan sebarang cubaan yang melanggar batas.
“Ada Suami Orang dan Sudah Bercucu”
“Memang ada yang cuba mendekati saya, termasuk daripada kalangan selebriti dan pelakon senior yang berstatus suami orang, malah ada juga yang sudah bercucu!
“Bagi saya, mereka boleh cuba mendekati, tetapi keputusan untuk menerima atau menolak adalah di tangan saya.
Kalau saya tak suka, pandai-pandailah saya tepis,” katanya ketika ditemui di sidang media drama Benci Jadi Cinta di Sri Pentas, Bandar Utama pada Isnin.
Pelbagai Bentuk Godaan
Harissa berkongsi bahawa godaan tersebut datang dalam pelbagai bentuk, sama ada secara lisan mahupun fizikal.
“Ada yang berterus terang tentang perasaan mereka, dan ada juga yang cuba menggoda secara fizikal. Contohnya, sewaktu berlakon, mereka berpura-pura tersentuh tangan saya. Sebagai wanita, saya dapat membaca niat sebenar mereka,” ujarnya.
Namun, Harissa menegaskan dia kekal profesional dalam menjalankan tugasnya sebagai pelakon.
“Saya Akan Bersuara Jika Melampaui Batas”
“Selagi mereka tidak keterlaluan, saya akan terus bekerja secara profesional. Tetapi jika mereka tidak menghormati saya atau melebihi batas, saya tidak teragak-agak untuk bersuara.
“Setakat ini, ramai yang faham dan menghormati apabila saya bertindak begitu,” tambahnya.
Harapan Melalui Drama Baharu
Dalam perkembangan lain, Harissa kini membintangi drama bersiri vertikal Benci Jadi Cinta yang disiarkan menerusi laman TikTok Drama Sangat.
Mengangkat tema cinta dan komedi romantik, Harissa berharap drama tersebut diterima baik oleh penonton, khususnya generasi muda, kerana jalan ceritanya yang santai dan menarik.
Drama ini turut menampilkan pelakon baharu seperti Syahmie Thsaqeef dan Zheng Ning.
BACA: Mana tidak tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, dua beranak didakwa buat maksiat bersama pasangan