Hari Pekerja yang tidak bermakna, u-turn moratorium ‘hadiah’ PN untuk rakyat

Hari Pekerja yang tidak bermakna, u-turn moratorium ‘hadiah’ PN untuk rakyat

Keputusan kerajaan PN melalui Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai moratorium pinjaman bank amat mengecewakan rakyat. Bahkan dalam sidang media hari ini, tiada sebarang perubahan yang diumumkan YAB Perdana Menteri terhadap keputusan BNM semalam.

Menurut BNM, mereka yang membuat pilihan moratorium 6-bulan untuk pinjaman sewabeli dan pembiayaan Islamik akan dikenakan faedah dan cas keuntungan keatas pembayaran ansuran yang ditangguhkan sepanjang tempoh enam bulan tersebut.

Sebelum ini, kerajaan PN menjanjikan moratorium 6 bulan tanpa faedah dan kadar keuntungan tambahan kepada peminjam sewa beli dan pembiayaan Islamik tetapi sekarang kerajaan PN membuat ‘pusingan U’ iaitu mengenakan faedah bayaran berkuatkuasa hari ini, 1 Mei 2020.

Begitu juga dengan moratorium yang dikatakan automatik sebelum ini. Kini peminjam perlu memberitahu bank samada mereka mahu mengambil moratorium atau teruskan.

Hari Pekerja dimusim Covid-19 tidak lagi memberikan makna kegembiraan kepada kaum pekerja. Sudahlah para pekerja ditekan dengan cuti tanpa gaji, hilang punca pendapatan, hari pekerja kali ini pula kerajaan hadiahkan ‘pusingan U’ yang jelas sangat membebankan.

Dengan penuh hormat – bersempena hari yang bermakna ini – kami menggesa kerajaan merombak keputusan ini dan mengaplikasikan moratorium tanpa faedah dan caj keuntungan tambahan bagi pembiayaan sewa beli dan pembiayaan Islamik.

SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional

COMMENTS