Harga laptop dan gajet naik melambung hingga 70 peratus kerana permintaan

Harga laptop dan gajet naik melambung hingga 70 peratus kerana permintaan

Harga komputer riba dan gajet elektronik dikesan melambung tinggi di pasaran dengan kenaikan sehingga 70 peratus kerana permintaan tinggi susulan pelaksanaan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai elektronik di dua buah pusat terkemuka di Lembah Klang mendapati terdapat perbezaan yang ketara terhadap harga peranti yang dijual ketika ini berbanding tahun lalu.

Sebagai contoh, komputer riba jenama A1 dijual pada harga sekitar RM1,300 seunit pada tahun lalu, namun tinjauan yang dibuat pada Jumaat, harganya naik 78 peratus mencecah RM2,322 seunit.

Komputer riba jenama A2 pula dijual pada harga RM1,899 seunit iaitu kenaikan sebanyak 46 peratus berbanding RM1,300 tahun lalu.

Bagi tablet jenama S yang menjadi pilihan buat ibu bapa untuk proses PdPR, peranti itu yang dijual pada harga sekitar RM599 itu kini naik kepada RM759.

Semua harga berkenaan diperoleh daripada peniaga di beberapa premis di pasar raya berkenaan.

Seorang pemilik kedai yang enggan identiti didedahkan berkata, kenaikan harga itu berlaku disebabkan dua faktor iaitu permintaan yang tinggi dan kekurangan bekalan.

“Tablet jenama S menjadi peranti ‘panas’ pada ketika ini. Banyak tempat ketiadaan stok. Jadi, tempat yang ada stok, mereka akan menjualnya pada harga yang mahal kepada pengguna.

“Perkara ini memang tidak patut berlaku, tapi itulah persaingan dan permintaan dalam perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ILNH Mobile Group Sdn Bhd, Imran Lokman Nor Hakim berkata, tidak sepatutnya peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga dengan pelbagai alasan kerana peranti itu amat diperlukan oleh anak-anak yang mengikuti proses PdPR susulan wabak Covid-19.

“Kalau ada peniaga yang menaikkan harga, ia merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

“Apa yang mereka lakukan itu sebenarnya membebankan ibu bapa,” katanya kepada Sinar Harian.

Pemilik IMG Shah Alam itu berkata, disebabkan kenaikan harga itu orang ramai perlu menjadi pengguna yang bijak dengan membandingkan harga supaya tidak menjadi mangsa permainan peniaga yang ingin mengaut keuntungan atas angin.

“Andai kata kedai itu menjual pada harga melebihi yang dibenarkan, boleh tinggalkan dan cari kedai lain. Sekarang dunia di hujung jari, boleh juga buat perbandingan harga di online,” katanya.

Berita penuh : https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/122858?__twitter_impression=true