Hanya rakyat Sabah yang mampu tewaskan rampasan kuasa jahat

Hanya rakyat Sabah yang mampu tewaskan rampasan kuasa jahat

Pakatan Harapan menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal dan kerajaan beliau bagi menentang cubaan jahat, tidak demokratik dan tidak bermoral untuk menjatuhkan kerajaan negeri dengan membeli wakil rakyat yang seterusnya menggalakkan pembelotan oportunis.

Pakatan Harapan menyatakan sokongan penuh bagi menewaskan cubaan lompat parti yang sangat cela ini – yang telah dicetuskan oleh anasir-anasir Perikatan Nasional– dengan segera membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah dan mengembalikan mandat kepada rakyat.

Hanya rakyat yang akan mampu menewaskan rampasan kuasa jahat yang telah dilancarkan bekas ketua menteri Tan Sri Musa Aman, dengan sokongan penuh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Pakatan Harapan mengecam sekeras-kerasnya politik khianat yang dilakukan Tan Sri Musa Aman, Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Perikatan Nasional, serta tawaran sehingga RM32 juta seorang, bersekali dengan tawaran jawatan Timbalan Ketua Menteri.

Tambahan kepada itu, cubaan rampasan kuasa di tengah-tengah usaha negara membendung wabak COVID-19 adalah satu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab.

Nampaknya kesihatan orang ramai bukanlah keutamaan berbanding usaha merebut pangkat dan kuasa.

Kami menyeru rakyat Sabah untuk menyokong Datuk Seri Shafie dan parti-parti yang bersekutu dengannya dalam pilihan raya negeri akan datang, untuk menetapkan semula (reset) politik nasional dengan mengangkat politik berprinsip serta menolak politik lompat parti, dan memulihkan mandat rakyat di mana kuasa rakyat lah yang menjadi faktor penentu, berbanding kuasa wang ringgit.

YB DS Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat
(KEADILAN)

YB Hj Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara
(AMANAH)

YB Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

COMMENTS