Hanya perlu ujian swab jika tiba dari Sabah, jika negatif tidak perlu kuarantin 14 hari – Menteri

Hanya perlu ujian swab jika tiba dari Sabah, jika negatif tidak perlu kuarantin 14 hari – Menteri

Mulai esok, pengembara dari Sabah perlu menjalani swab ujian pengesanan Covid-19 tiga hari sebelum berlepas ke negeri lain di Malaysia.

Sekiranya positif dalam ujian pengesanan Covid-19 atau bergejala, mereka tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan keluar dari Sabah.

Sebaliknya, mereka yang positif akan dirujuk ke hospital untuk isolasi, rawatan dan pemantauan manakala bagi individu yang bergejala akan dirujuk untuk menjalani pemeriksaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pengembara yang dibenarkan meneruskan perjalanan keluar dari Sabah, mereka akan melalui saringan demam dan gejala, pemeriksaan laporan ujian swab pengesanan Covid-19.

Selain itu, mereka diwajibkan penggunaan MySejahtera setibanya di Pintu Masuk Negara di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Labuan.

Menurutnya, seandainya mereka tidak bergejala dan laporan ujian makmal Covid-19 disahkan negatif, pengembara ini tidak lagi perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

Bermula 27 September lalu, KKM telah meminta semua pengembara yang tiba dari Sabah menjalani saringan gejala, ujian pengesanan Covid-19 serta menggunakan aplikasi MySejahtera semasa ketibaan di Pintu Masuk Negara di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula 27 September lalu.

Prosedur saringan ini dilaksanakan sebagai satu aktiviti survelan bagi memantau risiko penularan jangkitan dalam kalangan mereka yang mempunyai sejarah melawat negeri Sabah.

Tindakan itu susulan daripada peningkatan kes Covid-19 yang ketara di kebanyakan daerah di negeri tersebut, selain peningkatan kes positif Covid-19 di negeri-negeri lain di Malaysia yang berkait dengan sejarah melawat Sabah.

Adham menambah, merujuk kepada laporan mingguan kes positif Covid-19 pada minggu ke-43 tahun 2020, jumlah kes baharu dilaporkan di Sabah adalah 4,548 berbanding jumlah kes mingguan di Lembah Kelang (Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya) yang berjumlah 821 kes positif Covid-19.

Namun, pada minggu ke-47, jumlah kes baharu di Sabah adalah 3,073, penurunan sebanyak 32.4%, berbanding Lembah Kelang sebanyak 3041 kes iaitu peningkatan sebanyak 270 peratus. – MalaysiaGazette

Berita penuh : https://malaysiagazette.com/2020/11/24/pengembara-dari-sabah-hanya-perlu-lakukan-ujian-swab-adham/

COMMENTS