Program Sampah Kepada Tunai atau ‘Trash To Cash’ yang dilaksanakan oleh kerajaan telah berjaya menjana pendapatan
sebanyak RM354,798 kepada peserta melalui kutipan 1,598 tan sampah sepanjang tahun lalu.
EXCO Kanan Perumahan Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, berkata
inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan
Pembersihan Awam (SWCorp) ini dilihat dapat menyokong program Dasar Kebersihan Negara yang diperkenalkan oleh kerajaan.
Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengerusi SWCorp, Hee Loy Sian dan Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman.
Beliau menyatakan bahawa kejayaan ini dicapai melalui 957 program Trash To Cash yang dilaksanakan oleh SWCorp dengan kerjasama pelbagai agensi.
“Sehingga bulan lalu, sebanyak 922,253.86 kilogram sampah telah berjaya dikutip dengan nilai RM177,508.73. Ini adalah penting bagi menetapkan kadar kitar semula negara yang disasarkan 40 peratus menjelang 2025.
“Tahun lalu, Malaysia melepasi sasaran dengan kadar 35.38 peratus dan saya yakin angka ini akan terus meningkat hasil usaha berterusan antara SWCorp, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan semua agensi negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Mega Trash To Cash 2024 di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) hari ini.
Pada majlis itu, sebanyak 10.3 tan barangan kitar semula termasuk minyak masak, peralatan elektrik, botol, kotak, dan fabrik, dengan nilai RM8,266, telah dibayar kepada peserta program.
Mengulas lanjut, Rais berkata penganjuran Trash To Cash memberikan peluang kepada masyarakat untuk melupuskan al-Quran lama atau rosak dan menukarnya dengan al-Quran baharu secara percuma bagi naskah yang tidak mempunyai perakuan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Selain itu, kewujudan Pusat Pandu Lalu Kitar Semula juga merupakan salah satu strategi yang ditawarkan kepada masyarakat di sembilan lokasi operasi pusat tersebut.
“Sehingga Jun lalu, sebanyak 69 tan sisa kitar semula telah berjaya dikutip melalui program ini,” tambahnya.
BACA: Pak cik Man bakal ke matahari naik mesin angkasa ciptaan sendiri ada siapa nak tumpang