Hampir setahun memerintah, Kerajaan Muhyiddin terbukti gagal – Faiz Fadzil

Hampir setahun memerintah, Kerajaan Muhyiddin terbukti gagal – Faiz Fadzil

Sungguhpun hampir setahun memerintah, namun terlalu banyak kepincangan dalam kerajaan minoriti Perikatan Nasional (PN). Dari segi tadbir urus ekonomi, pentadbiran kerajaan persekutuan dan pembanterasan wabak Covid-19, kerajaan PN yang merangkumi 3 parti Melayu iaitu Bersatu, UMNO dan PAS telah gagal memuaskan jangkaan rakyat dan pelabur. Amat memalukan apabila Menteri Kewangan Dato’ Sri Tengku Zafrul dan kerajaan PN dikritik secara terbuka oleh pemain industri mengenai kelemahan negara menarik pelaburan asing.

Negara masih bergelut dengan kadar pengangguran yang tinggi. Setakat Oktober 2020, seramai 748,200 individu di mana sebilangan besar adalah anak muda terus menganggur berbanding hanya 512,100 penganggur setahun lepas. Pada masa yang sama, banyak syarikat besar sedang lari meninggalkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terutama ke Indonesia melibatkan pelaburan Hyundai sebanyak RM4.02 bilion, Toyota sebanyak RM8.04 bilion dan kilang bateri China CATL sebanyak RM20.09 bilion.
Trend membimbangkan ini terus menyukarkan proses penciptaan pekerjaan baharu pada ketika rakyat Malaysia terutama golongan muda amat memerlukan peluang pekerjaan.

Hari ini, Malaysia bukan sahaja terkebelakang dari aspek menarik pelabur asing tetapi juga pembelian vaksin Covid-19. Proses vaksinasi untuk majoriti rakyat hanya akan bermula pada suku ke-3 2021 ataupun lebih lama. Lagi lama proses vaksinasi dilanjutkan, semakin lama masa akan diambil untuk mencapai pemulihan ekonomi. Sudahlah moratorium pinjaman tidak dilanjutkan, kuasa beli rakyat Malaysia pula akan terus dihimpit sentimen yang lemah dan ini akan menyebabkan lebih ramai hidup susah dan mengancam sosio-ekonomi rakyat negara ini.

Ternyata kerajaan PN gagal melonjakkan ekonomi negara. Tiada perancangan konkrit dibentangkan bagi merangsang ekonomi dan tiada jalan keluar direncanakan bagi menyelesaikan masalah ekonomi rakyat. Sekadar mengumumkan pakej bantuan tunai bukan penyelesaian berkesan umpama semangkuk cendol yang boleh ditambah apa sahaja bahan mengikut selera. Ia memenuhi selera tetapi tidak mengenyangkan. Keadaan ekonomi bertambah kronik dengan pengumuman darurat yang bermotifkan politik yang sudah pasti mengundang tangapan negatif pelabur asing. Jelas, Tan Sri Muhyiddin lebih memikirkan legitimasi kerusi Perdana Menteri berbanding kepentingan negara.

Apakah langkah kerajaan PN untuk menggalakkan syarikat-syarikat menaikkan gaji pekerja tahun ini? Apakah perancangan untuk menarik pelaburan syarikat-syarikat asing dan memulihkan persepsi terhadap negara yang terjejas sejak skandal 1MDB? Bagaimanakah cara merangsang rakyat untuk berbelanja yang seterusnya mengukuhkan permintaan tempatan? Kerajaan PN juga masih gagal untuk memperkenalkan insentif cukai baharu yang benar-benar efektif. Apa yang diberikan hanya adalah pengecualian cukai jualan kereta di mana kereta mahal juga menikmati pengecualian cukai jualan 50% atau 100%, sedangkan cukai ini tidak mensasarkan golongan marhain yang cukup kritikal.

Walaupun Tan Sri Muhyiddin telah mengumumkan Pakej Bantuan PERMAI semalam, ia hanyalah satu pelan “kitar semula” idea-idea lama, sekadar menunjukkan kerajaan kononnya prihatin. Dalam kita melalui impak PKP 2.0, kerajaan minoriti PN sekali lagi gagal melancarkan satu pelan strategik untuk membantu rakyat dan industri tempatan. Meskipun terus wujud desakan daripada pelbagai pihak, kerajaan PN masih gagal untuk memperkenalkan moratorium pinjaman untuk semua pihak. Selain itu, tiada bantuan khas untuk industri perhotelan yang terjejas teruk akibat wabak Covid-19.

Setakat ini, tiada apa-apa perancangan dan visi konkrit dan efektif dibuat kerajaan PN bagi melonjak ekonomi negara. Yang ada hanyalah dasar flip-flop pelaksanaan PKP dan pengumuman darurat. Sepatutnya, pada hari yang sama PKP diumumkan, strategi membantu rakyat dan perniagaan tempatan menghadapi impak PKP juga turut diumumkan. Barulah sentimen tempatan dapat terus disokong dan ekonomi rakyat boleh distabilkan. Namun, semua ini tidak berlaku. Malahan, walaupun di waktu pandemik ini, kerajaan PN masih meneruskan dasar pembaziran dan gagal mengutamakan prinsip integriti dalam pengurusan ekonomi negara.

Justeru, tidak hairanlah Malaysia terus jatuh ke belakang bawah pentadbiran kerajaan minoriti PN. Yang menjadi mangsa adalah rakyat. Maka, Tan Sri Muhyiddin seharusnya berundur dan melepaskan jawatan Perdana Menteri secara bermaruah. Ekonomi negara hanya dapat dipulihkan jika negara mempunyai kepimpinan yang jitu dan ikhlas untuk memastikan kestabilan politik terjamin.

FAIZ FADZIL
19 Januari 2021