Hadi hina rakyat, seolah-olah dakwa kera lebih cerdik dari pengundi

Hadi hina rakyat, seolah-olah dakwa kera lebih cerdik dari pengundi

PAS hari ini mengibaratkan Pakatan Harapan (PH) sebagai sebuah kerajaan yang dipandang rendah dibandingkan situasi kera yang tidak berhajat kepada durian yang mentah.

Ini sebenarnya satu penghinaan kepada lebih dari separuh rakyat Malaysia yang telah memilih PH melalui PRU14 secara demokratik. Rakyat yang memilih PH mempunyai akal yang cerdik tetapi seekor haiwan bernama kera tidak mempunyai akal yang sempurna yang tidak patut boleh di jadikan perbandingan dengan manusia yang di anugerahkan kesempurnaan akal oleh Allah SAW untuk berfikir.

Kenyataan Presiden PAS adalah penghinaan kepada pengundi secara umum seolah-olah kera lebih cerdik dari mereka yang mengundi PH. Sekurang-kurangnya beliau sendiri mengakui kerajaan PH dipilih oleh rakyat melaui PRU 14.

Soalan di sini siapa pulak yang mengundi memilih kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menceroboh masuk melalui pintu belakang? Bukan rakyat atau pun kera yang mengundi memilih PN. Mereka yang mabuk kuasa sendirilah yang bernafsu besar tanpa maruah yang tidak sabar mengidam menjadi kerajaan melalui pintu belakang.

Bagaimana pula dengan PAS yang memilih “buah buruk” bernama Umno-BN yang memerintah lebih 60 tahun yang telah ditolak rakyat Malaysia yang berakal di PRU14 sebagai rakan kerajaan bersama? Saya percaya kera pun tidak berhasrat untuk mendampingi buah kalau sudah buruk kerana baunya.

Saya berpendapat PAS patut lebih tumpu usaha mentadbir kerajaan hari ini dari memburukkan kerajaan PH dahulu.

Soal lesen arak dan pemandu mabuk telah lama diperkatakan tetapi sejak menjadi kerajaan PAS begitu lambat menyambut isu ini tidak seperti dahulu.

Setelah ramai membuat saranan barulah PAS membuat cadangan untuk menggantung penjualan dan lesen arak. Sehingga undang-undang baru diadakan untuk menangani isu ini, masalah ini sukar di atasi.

PAS sepatut bertanya kepada menteri yang menjaga hal ehwal Parlimen, iaitu setiausaha agung PAS sendiri, kenapa isu ini yang dibawa oleh PH untuk dibentang pada 18 Mei 2020 baru baru ini tidak dibenarkan?

Tidak bermakna berbincang di media hanya untuk mencari publisiti kalau penyelesaiaan yang boleh dibuat di Parlimen pada 18 Mei baru baru ini dihalang oleh mereka sendiri.

Soalannya bilakah akan undang undang ini boleh diluluskan memandangkan selepas enam bulan sidang Parlimen terakhir diadakan, hanya titah Yang di-Pertuan Agong dibenarkan dan waktu sidang akan datang masih samar lagi.

Bukan hanya cadangan kami digagalkan baru baru ini tetapi lagi banyak isu penting lain yang menunggu giliran di Parlimen.

Rakan PAS dari MCA mencadangkan mereka yang ingin mabuk arak hanya perlu diminta menaiki Grab sementara DAP mencadangkan hukuman lebih berat dikenakan. Apa kata PAS pada sahabat baru MCA dalam isu ini? MCA kelihatan tidak memandang serius isu ini.

Memandangkan isu mabuk dadah di negeri PAS di Kelantan puluhan tahun pun tidak ada penyelesaian dan kekal di antara yang terburuk di Malaysia, saya tidak yakin PAS boleh mencadang penyelesaian baik untuk mabuk arak pula.

Janganlah setakat bercakap isu mabuk baik arak atau dadah tanpa menunjukan kesugguhan menanganinya. PAS dan PN patut perlu menangani masalah kronik ekonomi negara hari ini di ambang kegawatan hebat ekonomi dunia.

Presiden PAS adalah duta khas ke Timur Tengah dan beliau patut berusaha bersungguh-sungguh menarik pelaburan atau bantuan dari Negara Arab. Kami masih menunggu untuk mendengar apa apa rancangan atau cadangan.

PN juga telah melantik Duta Khas ke China juga yang patut berusaha mencari pelaburan dari China atau pelabur-pelabur yang berhasrat untuk pindah keluar dari China seperti sedang berlaku dari China ke Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Atau adakah mereka tidak yakin dengan kerajaan pintu belakang PN kerana kelihatan begitu rapuh hingga tidak berani bersidang di Parlimen? Ini akan amat merugikan diri kita.

Sedihnya ahli kerajaan PN terlalu sibuk menguruskan perlantikan diri mereka sama sendiri kedalam GLC untuk perniagaan mudah yang menguntungkan diri sendiri dan bukan negara serta rakyat. Inilah realitinya hari ini.Saya nasihatkan PAS dan PN tidak perlu memburukkan PH kerana ianya tidak akan membuat PN lebih baik. Tidak perlu juga hujah jika haiwan kera hajatkan durian mentah atau tidak, kerana realitinya rakyat memilih kerajaan PH dan kerajaan PN tidak direstui dan bukan melalui undi rakyat.

Berfikirlah apa yang rakyat Malaysia perlukan dalam suasana ekonomi yang buruk hari ini. Beranilah dan adakah sidang Parlimen dengan perbahasan yang bermakna jika mahu luluskan undang-undang baru mabuk arak.

Kalau tidak situasi mabuk arak di Malaysia akan terus seperti kekalnya mabuk dadah di Kelantan yang berterusan zaman berzaman dan masih menjadi negeri masalah dadah terburuk di Malaysia.

Sama jugalah dengan masalah air puluhan tahun juga di Kelantan yang tidak ada kesudahannya sampai hari ini sehingga rakyat Kelantan menemplak kerajaan Kelantan dalam isu ini.

PAS perlu ingat mentadbir kerajaan Malaysia jauh lagi mencabar dari menjaga negeri di mana rakyat boleh digesa untuk walak berterusan kepada pemimpin dengan janji demi janji walaupun mereka terus berhadapan dengan masalah rumit yang berterusan.

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH

Sumber:

COMMENTS