Hadi Awang dikecam guna kiasan World Cup- “menang dah tapi pengadil tambah masa kecederaan”. Nukilan Presiden Pas, Tan Sri Abdu Hadi Awang mengenai kemenangan dan masa kecederaan menarik minat pelbagai pihak.
Abdul Hadi dalam tulisan yang disiarkan oleh Harakah menyorot tentang perlawanan bola sepak di pelbagai perintah termasuk Piala Dunia yang menurut beliau ditetapkan pelbagai peraturan.
Ahli Parlimen Marang itu mengambil contoh salah satu peraturan iaitu ketetapan masa tambahan disebabkan berlaku kecederaan atau apabila kedua-dua belah pihak masing-masing seri.
“Masa kecederaan akan ditambah apabila benar-benar berlaku kecederaan, kerana ingin menguruskan pihak yang tercedera untuk mendapat rawatan segera atau yang tercedera itu dikeluarkan daripada padang.
“Pemain yang dikeluarkan itu, sama ada digantikan pemainnya atau tidak adalah mengikut peraturan yang telah ditetapkan dan dihormati oleh semua pihak.
“Masa permainan juga akan ditambah apabila tiada keputusan kerana seri, kosong-kosong atau sama banyak bilangan golnya. Masa itu ditambah dengan kadar yang sepatutnya dan munasabah atau diulang perlawanannya mengikut tempoh yang ditetapkan dan berdasarkan peraturan yang sama,” katanya.
Beliau kemudian mempersoalkan bagaimana pula jika pengadil menambah masa bukan kerana faktor kecederaan atau seri tiada keputusan?
“Padahal keputusannya sudah ada kemenangan pada satu pihak, ada mata dan golnya, tiba-tiba pengadilnya menambah masa juga untuk memberikan peluang kepada yang nyata sudah kalah supaya mereka dapat meraih kemenangan juga dengan apa cara sekalipun, yakni masanya dicederakan oleh si pengadil.
“Apakah yang diperkatakan oleh penonton yang menyaksikan secara langsung atau tayangan daripada jauh? “ katanya.
Abdul Hadi berkata, Islam mewajibkan umatnya agar berlaku adil dalam semua perkara, daripada dalam satu keluarga sehinggalah dalam satu masyarakat dan negara dalam semua perkara, termasuklah dalam pertandingan sukan.
Dalam Pilhan Raya Umum ke-15, Perikatan Nasional yang turut dianggotai Pas memenangi 73 kerusi parlimen.