Golongan Pendidik adalah frontliners, wajar diberi suntikan vaksin awal

Golongan Pendidik adalah frontliners, wajar diberi suntikan vaksin awal

Pendidik adalah pekerja barisan hadapan yang harus diberi keutamaan menerima vaksin secepat mungkin, selepas kakitangan kesihatan dan perubatan.

Tampak jelas bahawa setelah menghabiskan kurang lebih setahun dalam pembelajaran jarak jauh dengan anak-anak dan ibu bapa berhempas pulas melengkapkan keperluan PdPR, ramai orang semakin jelas dan menghargai betapa pentingnya institusi persekolahan kita.

Sekolah adalah jalan-jalan kehidupan untuk anak-anak kita belajar, berinteraksi dan mengambil pengalaman daripada seputar kewujudan mereka, sekaligus merupakan masa depan negara dan dunia.

Membuka sekolah sepenuhnya adalah kehendak semua orang dalam komuniti kita – pelajar, kakitangan sekolah dan keluarga kita; semua hakikatnya mahu sekolah segera kembali dibuka.

Namun, harus diinsafi dan dicermati bahawa kehendak dan kemahuan itu mestilah dilaksanakan dalam keadaan selamat, dan dijamin keselamatannya oleh pemerintah. Ini tugas dan tanggungjawab hakiki mana-mana kerajaan sekalipun.

Dan saya bersama dengan semua kehendak dan harapan ibu bapa, pelajar, guru-guru dan masyarakat ini.

Cara paling mudah untuk melakukannya adalah dengan terlebih dahulu memastikan agar para pendidik dipindahkan untuk lebih dekat ke garis hadapan bagi mendapatkan vaksin COVID-19, lebih cepat daripada perancangan sebelumnya yang juga tidak pernah dijelaskan secara khusus bila, kerana pendidik dan kakitangan sekolah sebenarnya berhadapan dengan saat-saat kritikal pada setiap hari dalam perkhidmatan mereka, dan mereka berurusan dengan anak-anak kita yang bukan sedikit.

Justeru, perlu untuk kita semua – seluruh rakyat dan entiti negara ini sepakati bersama bahawa guru-guru dan kakitangan sekolah adalah pekerja barisan hadapan, dan kita semua mahu sekolah kita dibuka secepat mungkin.

Terdapat banyak alasan untuk kita segera membuka kelas-kelas persekolahan, dan semua itu cukup untuk menjadikannya alasan utama mengapa kita harus sepakat mengutamakan pemberian vaksin kepada guru-guru dan kakitangan sekolah, selepas kakitangan kesihatan dan perubatan.

Sumber:

COMMENTS