‘Genggaman tangannya terkulai bila habis baca Al-ikhlas’ Anak murid minta bacakan Al-quran sebelum hembus nafas terakhir

Oleh MUHAMMAD KHAIRY JALALUDDIN

Guru sering diibaratkan sebagai lilin yang terus terbakar untuk menerangi orang lain. Walau seberapa sukar pun proses mendidik anak-anak bangsa,

Mereka tidak pernah berputus asa dan kehilangan semangat. Selaras dengan ungkapan itu,

Mereka tidak hanya menyampaikan ilmu pengetahuan, tetapi juga menjadi contoh terbaik untuk murid-murid.

'Genggaman tangannya terkulai bila habis baca Al-ikhlas' Anak murid minta bacakan Al-quran sebelum hembus nafas terakhir

Namun, ada kalanya guru juga diuji dengan takdir yang tidak diduga. Ini dialami oleh seorang guru yang mengajar di Sekolah dalam Hospital (SdH).

Melalui perkongsian dengan Siakap Keli, Ahmad Ishamudin Jamhari atau lebih dikenali sebagai Cikgu Isham mendedahkan kisah sedih yang pernah dihadapinya apabila kehilangan seorang murid untuk selama-lamanya.

Walaupun kurikulumnya sama seperti sekolah biasa, SdH tentu berbeza sedikit kerana melibatkan murid-murid yang mengalami pelbagai penyakit, termasuk penyakit kronik.

Mula-mula, beliau diterima untuk mengajar di wad pediatrik Hospital Selayang pada 16 Mei 2016. Ketika itu, tugasnya adalah mengajar salah seorang murid yang menghidap hepatitis B.

Setiap hari, nama Arif (bukan nama sebenar) tidak pernah terlepas dari jadual pengajaran beliau.

“Mungkin kerana keserasian yang terbina, kerana memahami setiap luahan yang nak disampaikan anak syurga ni,” ujarnya.

“Tanggal 30 mei 2016 genap 2 minggu mengajar di SdH Selayang, satu peristiwa yang takkan dilupakan dalam karier seumur hidup saya telah berlaku. Satu perkara yang amat menyayat dan merobek hati sanubari sebagai pendidik,” katanya.

Cikgu Isham mengatakan bahawa Arif sangat mesra dan sering meminta beliau membacakan buku. Namun, tanpa disangka, hari itu menjadi hari terakhir bagi beliau membacakan buku kepada Arif.

“Seperti biasa saya akan bertanya khabar dengan Arif akan dirinya, keadaannya dan makan minumnya sebelum memulakan sesi PdP di tepi katil bersamanya.

“Walaupun matanya agak sepet kekuningan dan perutnya semakin membesar, dia tetap setia menanti kehadiran saya untuk belajar sesuatu yang baharu walaupun dia tahu yang dia tiada peluang lagi menatap hari yang mendatang satu hari nanti.

“Wajahnya tetap ceria, menguntum senyuman walaupun pahit menderita dengan penyakit yang dihidapinya. Saya berasa suatu kelainan pada petang itu, Arif memegang erat tangan saya, lain dari biasa.

“Cuma kali ni agak lain permintaannya, “cikgu boleh tolong saya, cikgu bacalah ye..”. Saya seperti biasa mencapai komik bola Safee Sali untuk dibacakan kepada Arif.

“Setelah saya bacakan komik itu berulang kali, dia menarik sesuatu dari poket baju saya yang berupa al-Quran kecil yang selalu saya bawa kemana-mana,” ujarnya.

“Bermula dengan ummul kitab saya mulakan diikuti surah Annas, Al-Falaq dan Al-Ikhlas tetapi genggaman tangannya semakin lama semakin berkurangan lalu terkulai setelah selesai saya tamatkan bacaan surah Al-Ikhlas.

“Saya tergamam dan terkejut, apakah yang telah berlaku? Lantas saya memanggil jururawat yang bertugas.

“Saya diminta berada di luar seketika tetapi hati saya kuat menyatakan Arif kau dah takde.

“Jururawat itu segera memanggil doktor yang bertugas, setelah beberapa kali CPR dijalankan, tiada perkembangan positif yang ditunjukkan.

“Arif telah pergi meninggalkan kami buat selamanya. Seluruh penghuni kamar 20 wad 8B teresak-esak akan pemergian arwah Arif.

“Semoga arwah ditempatkan bersama para solihin dan syuhada. Al-Fatihah dibaca untuknya.”

Cerita yang dikongsi oleh Cikgu Isham ini merupakan satu pengalaman yang perlu dialami oleh guru-guru yang bertugas di Sekolah dalam Hospital di seluruh negara.

Walaupun mereka terasa sangat sedih dengan kehilangan itu, mereka perlu meneruskan usaha mereka untuk menyumbangkan ilmu kepada anak-anak bangsa.

Apakah itu Sekolah dalam Hospital (SdH)?

Mungkin masih ramai yang belum memahami konsep SdH ini. Dilancarkan pada 26 Julai 2011, inisiatif ini bertujuan untuk menyediakan pendidikan formal dan terstruktur dalam lingkungan yang santai dan kondusif. Pada masa yang sama, ia memberikan sokongan dan dorongan kepada murid agar terus meneruskan proses pembelajaran mereka supaya tidak terlepas dari pembelajaran.

SdH juga telah memperkuatkan kerjasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Setakat ini, terdapat 17 buah SdH yang beroperasi di Malaysia dan dijangka akan berkembang lebih luas pada masa akan datang.

Walaupun pesakit-pesakit muda ini menghadapi pelbagai penyakit seperti kanser darah dan masalah jantung, mereka tetap bersungguh-sungguh untuk terus mengejar ilmu pengetahuan.

Masalah kesihatan yang mereka hadapi tidak menghalang mereka daripada mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Contohnya, terdapat murid yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Malahan, ada yang pada awalnya tidak memiliki kemahiran 3M ketika bersekolah di sekolah harian, namun berjaya menguasainya melalui kaedah pengajaran bersemuka dan berfokus yang diberikan oleh guru-guru SdH.

Mungkin ramai yang bertanya-tanya tentang kurikulum SdH. Untuk pengetahuan, kurikulum yang digunakan adalah Kurikulum Kebangsaan. Namun, guru-guru akan menyelaraskan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) mengikut keperluan semasa dan tahap keupayaan murid-murid.

Pembelajaran di SdH dijalankan dalam bentuk kumpulan di dalam kelas dan juga secara individu di sisi katil di wad. Sesi ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu dua jam pada waktu pagi (10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari) dan dua jam pada waktu petang (2.00 petang hingga 4.00 petang).

Sehingga Disember 2023, terdapat 100 orang guru yang mengajar di SdH di seluruh Malaysia.

BACA: “Akibat panas baran ayah kejar kereta sampai kami semua hampir hilang nyawa, lepas pada kejadian tu, mak terus berubah”