Gempar !!! TV Kanada tunjuk bukti video keadaan ‘teruk’ kilang Top Glove di Malaysia

Gempar !!! TV Kanada tunjuk bukti video keadaan ‘teruk’ kilang Top Glove di Malaysia

Rakaman kamera tersembunyi daripada pemeriksaan samaran di sebuah kilang Top Glove disiarkan dalam satu laporan televisyen Kanada yang berkata, ia menunjukkan keadaan kerja tidak selamat dan teruk yang disifatkannya “mengejutkan”.

CBC berkata, program Marketplace menyeludup sebuah kamera ke kilang itu dengan bantuan pekerja Top Glove.

Rakaman itu menyokong dakwaan pekerja berhubung keadaan kerja tidak selamat serta tempat tinggal yang sesak dan panas.

Di asrama, menurut stesen televisyen itu, sehingga 25 pekerja tidur di sebuah bilik, selalunya di lantai. Mereka berkongsi sebuah bilik mandi yang digunakan untuk semunya, daripada mandi sehingga membersihkan sayur.

Ia turut menunjukkan talian pengeluaran, kebanyakannya terdiri daripada pekerja asing, yang sempit dan gagal mematuhi peraturan pencegahan Covid-19.

Terdapat juga video pekerja melakukan kerja pembaikan elektrik atau mengendalikan bahan kimia tanpa sebarang peralatan keselamatan.

CBC berkata, sejurus video itu disiarkan, syarikat sarung tangan itu terpaksa menghentikan pengeluarannya susulan penularan Covid-19 yang mencatatkan lebih 6,000 kes.

Menurut laporan itu, satu video yang diberikan kepada CBC menunjukkan pekerja bersesak dengan sedikit penjarakan fizikal ketika disaring.

Pekerja di asrama dilihat mandi bersebelahan timbunan sampah.

CBC turut menemubual 23 pekerja asing dan bekas pekerja asing yang memberitahu pelbagai dakwaan eksploitasi seperti perhambaan hutang, amalan rekruit menipu, penahanan pasport, kerja lebih masa melampau, tempat kerja menindas dan keadaan tempat tinggal menyedihkan.

“Syarikat tidak peduli (mengenai pekerjanya). Jika kami mengadu kepada pihak berkuasa lebih tinggi, syarikat akan dipaksa menjaga kami,” kata seorang pekerja.

Sesetengah pekerja berkata, mereka tidak boleh meninggalkan pekerjaan itu walaupun berdepan risiko kesihatan.

Katanya, mereka mempunyai banyak hutang – sering pinjam dengan peminjam tidak bertanggungjawab – perlu membayar sejumlah besar yuran kepada agensi pekerjaan untuk mendapatkan kerja.

“Saya tiada pilihan, saya perlu kerja (untuk melangsaikan hutang saya),” seorang pekerja Bangladesh memberitahu program Marketplace. –FMT