Gempar !!! Tun M tawar diri sebagai saksi saman pengundi Gombak terhadap Azmin

Gempar !!! Tun M tawar diri sebagai saksi saman pengundi Gombak terhadap Azmin

Saya dimaklumkan seramai sepuluh (10) orang pengundi berdaftar Parlimen Gombak telah memulakan satu tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Azmin Ali yang merupakan Menteri Kanan Hal Ehwal Ekonomi bagi kerajaan Perikatan Nasional.

Berdasarkan kandungan Pernyataan Tuntutan yang difailkan oleh Plaintif-Plaintif tersebut, saya dinasihatkan oleh Peguam bahawa tindakan ini diambil kerana Dato’ Seri Azmin didakwa memungkiri sumpah setia selaku ahli Parlimen, mengabaikan amanah pengundi-pengundi kawasan Gombak untuk kepentingan diri dan tidak menghiraukan janji yang dibuatnya semasa kempen pilihan raya ke-14, dan melakukan kesalahan tort penipuan (committed tort of deceit).

Saya dapati Pernyataan Tuntutan mengandungi antara lain Langkah Sheraton dan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional memecah belah gabungan Pakatan Harapan, Kerajaan yang sah yang dipilih oleh Rakyat.

Terdapat juga pernyataan bahawa saya tidak menghadiri pertemuan di Hotel Sheraton pada 23.2.2020.

Juga dinyatakan saya telah meletak jawatan pada 24.02.2020. Ini adalah seperti selalu saya tekankan bahawa perpecahan gabungan PH adalah akibat dari Langkah Sheraton.

Terdapat juga pernyataan bahawa Dato’ Seri Azmin kini bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin dari BN termasuk mereka yang telah dan/atau masih menghadapi tuduhan-tuduhan jenayah.

Kesemua perkara yang didakwa melalui tindakan yang difailkan ini telah pun saya nyatakan berulang kali.

Wakil rakyat atau Ahli Parlimen harus faham bahawa Rakyat memilih kita sebagai wakil mereka untuk bersuara di Parlimen dan memimpin mereka bukannya untuk kepentingan diri dan mendapatkan jawatan serta kuasa.

Mahkamah merupakan forum paling sesuai untuk mengesahkan dakwaan-dakwaan oleh sepuluh Plaintif yang memfailkan tindakan ini. Saya melihat keberanian rakyat mempersoal kredibiliti dan integriti seorang Ahli Parlimen seperti Dato’ Seri Azmin sebagai satu proses mematangkan pendemokrasian negara.

Saya sedia menawarkan diri sebagai saksi di Mahkamah sekiranya keterangan saya diperlukan.

Saya sedia membantu.

DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Ahli Parlimen Langkawi
2 Disember 2020

COMMENTS