Gempar !!! Timbalan Menteri rasmi program disertai penceramah Israel undang kemarahan

Gempar !!! Timbalan Menteri rasmi program disertai penceramah Israel undang kemarahan

Sebuah NGO pro-Palestin melahirkan rasa kecewa terhadap Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Mas Ermieyati Samsudin, yang didakwa merasmikan program yang turut disertai penceramah dari Israel.

Walaupun program itu diadakan dalam talian, NGO Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia berkata, sokongan kementerian terhadap acara tempatan yang mana terdapat penyertaan wakil dari Israel tidak sepatutnya berlaku.

“Kerajaan Malaysia, dari dahulu dan sekarang, termasuk yang sekarang senantiasa mematuhi dasar rasmi untuk tidak memberikan pengiktirafan kepada negara Israel serta tidak melakukan sebarang hubungan dengan entiti Israel.

“BDS Malaysia sangat memuji dasar tersebut. Bagaimanapun, perasmian acara tersebut oleh menteri bertentangan dengan dasar rasmi kerajaan yang dianggotai beliau sendiri,” kata badan itu dalam satu tulisan surat terbuka, hari ini.

Pada 15 Feb lalu, The Star melaporkan program berbentuk sidang kemuncak keusahawanan itu disokong pihak kementerian dan dirasmikan Mas Ermieyati secara maya.

Ia menampilkan penceramah profesional dari tujuh negara, iaitu Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand, Israel, Sri Lanka dan Amerika Syarikat yang berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka melalui perbincangan secara langsung.

Sehubungan itu BDS Malaysia menggesa Mas Ermieyati, kementerian yang diterajuinya, kerajaan Malaysia serta semua badan sektor awam dan swasta untuk terus memboikot Israel.

NGO itu juga mendesak supaya kerajaan memastikan tidak ada penyertaan organisasi dari Israel dalam sebarang program di negara kita.

“Hanya tindakan seperti itu yang dapat membawa keamanan dan keadilan di bumi Palestin.

“Hak asasi lima juta rakyat Palestin di wilayah negara itu diduduki secara haram oleh Israel antaranya di Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan Baitulmuqaddis Timur sehingga kini,” kata surat tersebut.

Jelas BSD Malaysia lagi, pencabulan tersebut turut direkodkan oleh pertubuhan Human Rights Watch dan Amnesty International.

“Hampir dua juta penduduk Palestin di negara Palestin yang asal (dikenali sebagai Israel) dizalimi oleh sistem undang-undang apartheid. Ini disahkan lagi oleh kumpulan hak asasi manusia Israel, B’Tselem.

“Pencabulan di kawasan Palestin yang dijajah juga dikutuk pelbagai resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sementara penubuhan jajahan Israel di sana adalah haram di bawah Konvensyen Geneva ke-4 dan melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB 2334 Disember 2016.

“Dan apartheid dikategorikan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan oleh Statut Rome 2002 Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

“Negara apartheid Israel tidak dapat dihukum atas semua pencabulan di atas semata-mata kerana perlindungan yang diberikan oleh Amerika Syarikat serta akibat tipu daya propaganda Zionis.

“Hanya tekanan yang bermakna daripada masyarakat antarabangsa yang akan memaksa Israel menghormati hak asasi manusia Palestin. Keengganan kerajaan Malaysia untuk mengiktiraf Israel adalah sebahagian dari tekanan ini,” tegas NGO itu.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/563313